Kedah Diminta Jelaskan Penggunaan Wang Peruntukan Jalan

Diterbitkan: Isnin, 3 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah pada Ahad diminta menjelaskan kenyataan seorang exconya yang mengatakan bahawa sebahagian daripada wang peruntukan Kerajaan Pusat untuk penyelenggaraan jalan telah digunakan membiayai gaji dan urusan pentadbiran negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah ketika membuat gesaan tersebut berkata kerajaan negeri hendaklah menerangkan kepada rakyat mengapa wang peruntukan membaiki jalan yang rosak dipakai untuk tujuan pembayaran gaji dan pentadbiran negeri.

"Wang itu sepatutnya digunakan untuk membaiki banyak jalan yang rosak sehingga boleh menyebabakan kemalangan, kecederaan dan kerosakan pada kenderaan seperti aduan rakyat tetapi tidak dipedulikan.

"Tindakan kerajaan negeri ini seperti mengenepikan kepentingan rakyat yang berhak kepada jalan raya yang selesa," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Bashah mengulas kenyataan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Phahrolrazi Zawawi dalam sebuah akhbar semalam bahawa wang daripada lebihan penyelenggaraan jalan itu digunakan termasuk untuk membiayai bayaran gaji dan kos pentadbiran.

"Ini menunjukkan kantung kerajaan negeri sudah kurang sehingga terpaksa menggunakan wang Kerajaan Pusat untuk tujuan membayar gaji," katanya.

Menurut beliau, sejak persidangan Dewan Undangan Negeri Julai lepas, beliau telah mempersoalkan ke mana perginya wang untuk menyelenggara jalan yang disalurkan Kerajaan Pusat pada tahun 2010 berjumlah RM148 juta tetapi hanya RM55 juta sahaja digunakan.

"Hampir RM100 juta tidak digunakan. Apabila didesak melalui media, Kerajaan Negeri kata ia dimasukkan ke dalam tabung amanah dan sekarang mengakui ia digunakan bagi tujuan pentadbiran.

"Jawapan Kerajaan Negeri ini menimbulkan pelbagai pertanyaan. Mereka sudah tidak ada duit untuk membayar gaji sedangkan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak sering menyatakan kerajaan negeri tidak akan meminjam daripada kerajaan pusat untuk pembayaran gaji kakitangannya," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan