Persidangan Bersejarah Di Parlimen Bermula Isnin Ini

Diterbitkan: Ahad, 2 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persidangan Parlimen bermula Isnin ini dijangka melakar sejarah tersendiri atas beberapa sebab.

Pertama, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bakal dimansuhkan selepas tempoh 51 tahun.

Kedua, ia juga akan menjadi persidangan pertama yang diadakan di dewan sementara, sejak bangunan Parlimen dirasmikan pada 2 November 1963.

Dewan sementara itu terletak bersebelahan dengan bangunan Parlimen, di mana Senat dan Dewan Rakyat sedang melalui kerja-kerja naik taraf bernilai RM28 juta.

Perpindahan ke lokasi baru itu bagi membolehkan proses menaik taraf keseluruhan struktur bangunan itu berjalan dengan lancar selepas hampir lima dekad wujud.

Ketiga, dewan baru itu juga akan menjadi saksi pembentangan Bajet 2012 pada Jumaat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ia dipercayai sebagai pembentangan terakhir dalam sidang ke-12 parlimen.

Orang ramai menjangkakan “kejutan menyeronokkan” bakal diumumkan menerusi Bajet 2012, yang juga diwar-warkan sebagai ‘Bajet Pilihan Raya’ termasuklah desas-desus kenaikan gaji penjawat awam.

Keempat, kerajaan juga dijangka akan membentangkan usul penghapusan Akta Buang Negeri 1959 dan pembaharuan permit tahunan penerbitan di bawah peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Bermula Isnin, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga dijangka akan berpiket di lobi Parlimen, sepertimana amaran yang mereka keluarkan sebelum ini, jika kerajaan gagal membentangkan cadangan pindaan Rang Undang-undang Kerja di bawah Akta Pekerjaan 1955.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan