MCA Gesa K'jaan Tingkatkan Keupayaan Kuasai Bahasa Ibunda Di Sekolah Rendah

Diterbitkan: Ahad, 2 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA menggesa Kerajaan mempertingkatkan keupayaan menguasai bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah dan juga pengajaran dan pembelajaran matematik serta sains dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia di peringkat menengah.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, ibu-bapa sepatutnya berhak menentukan medium penggunaan bahasa untuk pendidikan anak-anak mereka.

Katanya, satu jadual waktu yang khusus juga perlu ditentukan untuk kerajaan menetapkan pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus di peringkat SPM.

"Bahasa ibunda juga patut digalakkan dan akhirnya menjurus ke arah menjadikannya sebagai satu matapelajaran wajib di semua sekolah kebangsaan.

"Jika semua inisiatif ini dirancang dengan teliti dan berjadual, ia tidak mustahil dapat dilaksanakan. Kami juga berpendapat Kelas Peralihan perlu dikekalkan dan Guru Besar tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk mengecualikan pelajar-pelajar tertentu daripadanya," ujar beliau ketika berucap pada Perhimpunan Agung MCA yang ke-58 di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini, Ahad.

Dr Chua berkata, oleh kerana pendidikan bahasa ibunda dilihat oleh sesetengah komuniti sebagai sesuatu yang penting kepada budaya dan kelangsungan diri mereka, maka akan wujud persepsi tentang bagaimana kerajaan menangani isu-isu yang berkaitan dengan peranan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK).

"Maka di bawah pendekatan baru kepimpinan YAB Datuk Seri, komuniti atau masyarakat Cina mengharapkan lebih banyak sekolah jenis kebangsaan Cina dibina dan peruntukkan yang lebih besar disediakan oleh kerajaan.

"Dan kami berharap ini akan dapat dimasukkan ke dalam pembentangan bajet 2012 tidak lama lagi," ujarnya.

Beliau menambah, adalah penting untuk menyedari bahawa komuniti Cina melihat atau menilai prestasi kerajaan berasaskan bagaimana ia melayani sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan dan juga sekolah persendirian.

"Hanya sedikit sahaja lagi rasa murah hati yang ditunjukkan sudah memadai untuk mengenepikan sebarang sangkaan buruk yang kerajaan selama ini telah mengenepikan pendidikan bahasa ibunda.

"Malah lebih banyak peruntukkan dan pembinaan sekolah jenis kebangsaan akan dapat menafikan tuduhan pembangkang bahawa sekolah-sekolah jenis kebangsaan dipinggirkan oleh kerajaan," kata Dr Chua.

Beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada perdana menteri kerana dari 4,000 penerima biasiswa JPA tahun ini untuk melanjutkan pengajian mereka di luar negara dan dalam negara, 1,660 adalah dari kalangan kaum Cina.

Juga, 88.6% daripada pelajar keturunan Cina telah berjaya mendapat tempat di IPTA tahun ini.

"Jika anugerah biasiswa di IPTA dan juga kemasukan ke IPTA adalah berasaskan merit, kami berasa yakin bahawa pengaliran keluar bijak pandai dari negara kita akhirnya akan dapat dikurangkan.

"Saya juga ingin turut merakamkan rasa terima kasih kami kepada 1Malaysia Development Bhd di atas pemberian biasiswa kepada 50 pemegang Sijil UEC (Unified Examination Cert) bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Para penerima biasiswa ini telah dianugerahkan geran berjumlah RM45,000 seorang tanpa sebarang ikatan.

MCA kata Dr Chua sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa kumpulan yang kurang bernasib baik sama ada secara sosial atau ekonomi harus dan wajar mendapat pertolongan dan bantuan tanpa mengambil kira latarbelakang kaum atau kepercayaan mereka.

Tahun ini juga, katanya, menandakan tahun pertama lepasan-lepasan UEC diberi peluang untuk memasuki maktab-maktab perguruan.

Untuk itu, tegas beliau, sudah tiba masanya juga untuk kerajaan mempertimbangkan perkara yang sama kepada lulusan UEC untuk memasuki universiti-universiti awam atau IPTA.

MCA, katanya, akan terus menyalurkan pendidikan yang berkualiti dan mampu melalui KTAR dan UTAR untuk semua rakyat Malaysia. Kedua-dua institusi pengajian tinggi ini telah melahirkan 185,000 graduan dan hari ini mereka mempunyai populasi pelajar berjumlah 42,000 orang di seluruh negara.

Buat masa ini, menurut beliau, pengambilan tahunan UTAR dan KTAR adalah sekitar 20,000 pelajar dan ini merangkumi sekitar 20% daripada 100,000 pelajar dari keturunan Cina yang memasuki institusi pengajian tinggi. Kedua-dua institusi ini akan terus menyumbang melahirkan tenaga terlatih dan profesional kepada negara.

Dan untuk terus meningkatkan status KTAR, MCA katanya kini sedang berurusan dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menaiktarafkan KTAR kepada status kolej-universiti.

MCA juga, katanya, telah melancarkan dana bernilai RM30 juta di bawah skim pinjaman pendidikan ‘1MCA Education Loan’ khusus untuk pelajar-pelajar miskin tanpa mengira kaum.

Di bawah skim ini, untuk tempoh lima tahun pertama pinjaman, ia adalah bebas faedah. Dana pinjaman ini akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 250 orang pelajar miskin setahun.

"Sebagai sebuah parti politik, kami telah melaburkan sejumlah sumber yang agak besar dalam bidang pendidikan. Saya percaya, sumbangan yang telah dilakukan oleh MCA ini adalah jauh lebih besar daripada apa yang telah dilakukan oleh DAP. DAP hanya mampu bermain kata-kata bila bercakap mengenai keperluan rakyat," tegas beliau lagi.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan