Jika Benar DAP Bukan Parti Mono-Etnik Letak Calon Bukan Melayu Di Kawasan Melayu

Diterbitkan: Ahad, 2 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: MCA mencabar DAP, jika benar mereka adalah sebuah parti pelbagai kaum, sepertimana yang dilaung-laungkan, mereka sepatutnya meletakkan calon bukan Melayu di kawasan Melayu dan buktikan bahawa mereka diterima oleh semua komuniti.

"Tapi mereka tak berani...," tegas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ketika berucap pada Perhimpunan Agung parti itu yang berlangsung di Wisma MCA Ahad.

Sebaliknya, kata Dr Chua, dengan meletakkan calon yang mewakili masyarakat Cina menentang calon dari kalangan masyarakat Cina juga, DAP secara tidak langsung cuba mencipta satu sistem politik yang mana bukan Cina akan membentuk Kerajaan dan masyarakat Cina berakhir sebagai pembangkang.

Ini, akhirnya kata beliau akan mewujudkan sistem dua kaum dan bukannya sistem dua parti sebagaimana yang mereka inginkan.

Dan di Sarawak, menurut beliau, dalam pilihan raya yang baru selesai, mereka (DAP) telah berjaya mengurangkan perwakilan masyarakat Cina tetapi mereka gagal menumbangkan Ketua Menteri.

Jelas beliau lagi, selepas pilihan raya umum pada Mac 2008, rakyat merasa optimistik bahawa akhirnya negara ini akan ditentukan oleh sistem dua parti.

"Sebaliknya, ia menimbulkan politiking yang lebih tegang yang memecah belahkan rakyat.

"Pakatan Rakyat tidak pernah berhenti daripada mengeksplotasikan isu-isu dari peristiwa malang kematian mendiang Teoh Beng Hock sehinggalah kepada isu pilihan raya adil dan telus demi untuk mencapai keuntungan politik.

"Apa yang mereka inginkan ialah untuk mencipta satu persepsi atau andaian bahawa BN tidak berupaya melakukan sesuatu itu dengan betul," jelas beliau.

Bagaimanapun, katanya, rakyat tidak akan diperdayakan oleh Pakatan Rakyat kerana rekod perkhidmatan Barisan Nasional (BN) amat jelas sekali dalam membangunkan negara ini.

Katanya lagi, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri telah memberi harapan kepada rakyat bahawa mereka boleh menaruh kepercayaan kepada kerajaan BN, menjelang 2020, kita akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Sebaliknya rakyat perlu disedarkan bahawa negeri-negeri di bawah Pakatan tidak memperkenalkan sebarang inisiatif apatah lagi transformasi.

Mereka hanya pandai menghebohkan dan menjenamakan semula diri mereka malah mendabik dada dan menuntut kredit di atas perkara-perkara kecil yang mereka lakukan.

"Jika sekali pun mereka mendakwa berjaya menarik pelaburan luar, ia adalah kerana kestabilan politik dan ekonomi yang disediakan oleh kerajaan persekutuan termasuklah insentif serta prasarana yang membolehkan para pelabur memutuskan untuk datang ke sini dan melabur di negara kita.

"Ia bukanlah satu-satunya usaha yang dilakukan oleh mana-mana negeri tertentu," ujar beliau.

Namun begitu, Dr Chua menarik perhatian dengan berkata, DAP akan terus mempakejkan diri mereka sebagai sebuah parti pelbagai kaum - cuba untuk menyembunyikan wajah sebenar mereka sebagai parti mono-etnik.

"Saya percaya mereka akan meletakkan beberapa calon Melayu di negeri-negeri seperti Perak dan Selangor dengan harapan jika mereka berjaya membentuk kerajaan, calon Melayu ini boleh diketengahkan sebagai calon Menteri Besar," katanya lagi.

Dr Chua juga menegaskan bahawa DAP, dalam kempen-kempen mereka selalu mendakwa bahawa BN perlu dihukum kerana ia diketuai oleh Umno. Untuk melakukan itu mereka meletakkan calon Cina untuk menentang calon Cina yang lain. Ini bermakna mereka meletakkan calon untuk menentang MCA dan Gerakan.

Ini dengan sendirinya membuktikan apa yang mereka lakukan adalah bertentangan dengan apa yang mereka dakwa sebagai sebuah parti pelbagai kaum, jelas Dr Chua.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan