Pemuda MCA Digesa Guna Media Baru Dalam PRU-13

Diterbitkan: Sabtu, 1 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa sayap pemuda parti itu menggunakan media baru untuk menarik kembali sokongan rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

“Tidak seperti dalam pilihan raya yang lalu di mana blog digunakan secara meluas, laman sosial seperti Facebook dan Twitter dijangka sangat berpengaruh dalam kempen kali ini,” katanya.

Liow berkata sebagai golongan muda yang mempunyai kebijaksanaan, tenaga dan keupayaan mereka perlu bersungguh dalam melaksanakan amanat tersebut.

"Pembangkang tidak sekuat seperti mana yang digambarkan sebaliknya mereka hanya melancarkan serangan pada pilihan raya yang lalu," katanya.

Jelasnya, DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai banyak kelemahan dan sering menghadapi konflik dalaman sepertimana dalam isu pelaksanaan hukum Hudud.

Menurutnya, Pemuda MCA perlu mengambil inisiatif menjalin hubungan rapat dengan rakyat serta bersatu dengan kekuatan pemuda kaum Cina atau pertubuhan berkenaan kerana mereka adalah rakan terbaik Pemuda MCA ke arah membina masa depan lebih cerah.

"Sekarang, kita harus mencurahkan seluruh tenaga dan sumber untuk memenangi semula sokongan rakyat. Organisasi dan asas parti MCA adalah jauh lebih kuat daripada parti lawan.

"Dengan mengerahkan seluruh anggota MCA, hajat kita untuk mencipta semula kegemilangan bukan omong kosong," katanya

Turut hadir Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) dan juga Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Liow yang juga Menteri Kesihatan, berkata MCA perlu mempunyai pemikiran dan strategi baru serta lebih agresif dalam membuat serangan terhadap parti pembangkang.

Beliau berkata perubahan dan reformasi yang menjadi hasrat rakyat perlu dipandang serius.

"Dengan kata lain, mereka adalah oportunis. Perubahan yang jitu haruslah bernas, tahan diuji, berkesan dan berhasil. "Kesemua matlamat ini telah dicapai kerajaan BN. Saya yakin rakyat mempunyai kebijaksanaan untuk membuat penilaian," katanya.

Pada sidang akhbar kemudian, Liow menolak andaian bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat bahawa parti itu kini sedang menjadi semakin tidak relevan, yang dilaporkan oleh sebuah portal berita.

Menurutnya, selaku bekas presiden, Ong seharusnya memberikan pandangan membina dan tidak cuba mewujudkan masalah dengan parti. Liow berkata: "Beliau boleh katakan apa sahaja beliau mahu. Tetapi jangan berjuang dalam parti. Sekarang parti sedang fokus untuk transformasi dan perubahan. Kita dan BN sekarang sedang bergerak.

"MCA masih lagi relevan. Walaupun kita kalah pada pilihan raya umum 2008, kita masih lagi berkhidmat untuk rakyat. Kita tidak pernah lari daripada tugas kita," kata beliau.

Ditanya mengenai kesediaan MCA untuk bertukar kerusi dengan parti komponen BN lain pada pilihan raya umum akan datang, Liow berkata: "Kita setuju dengan pertukaran kerusi tetapi perlulah dipastikan yang nak bertanding ini calon boleh menang.

"Jika benar-benar pasti bahawa yang nak bertanding ini calon boleh menang, kita setuju untuk bertukar kerusi," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata parti tersebut tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal parti MCA, terutamanya melibatkan kenyataan Ong itu.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Hari Terbuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dataran Merdeka di sini, Sabtu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan