PAS Tetap Perjuang Dasar Islam - Hadi

Diterbitkan: Sabtu, 1 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEPALA BATAS: PAS akan tetap memperjuangkan dasar Islam dan tidak akan sesekali mengubah prinsip asas itu kerana parti berkenaan teguh dan tidak akan hanyut walaupun dijajah.

Presidennya Datuk Abdul Hadi Awang berkata parti itu juga akan meneruskan perjuangan Islam dengan berpandukan Quran dan Sunnah. "PAS mempunyai acuan sendiri yang ditunjukkan Allah dan diajar oleh Nabi, kita perlu faham dan PAS mahu mengembalikan umat Islam berdemokrasi.

"Kita juga merupakan sebuah parti yang terbuka, kita boleh menerima menang, boleh menerima kalah," katanya semasa berucap merasmikan Kongres Sambutan 60 tahun PAS di sini, Sabtu.

Turut hadir Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Naib Presiden PAS Mohamad Sabu dan pemimpin-pemimpin tertinggi parti itu.

Abdul Hadi berkata PAS adalah sebuah parti poltik Islam yang terawal ditubuhkan di Asia Tenggara dan mempunyai pengalaman serta mengharungi cabaran sejak ia ditubuhkan pada 1951.

"Marilah kita menyambung perjuangan PAS yang diasaskan pada 1951, jangan kita tebuk asas itu (perjuangan berlandaskan Islam)," katanya.

Beliau berkata PAS juga tidak akan memaksa orang bukan Islam untuk menerima undang-undang Islam seperti mana parti itu tidak memaksa mereka menerima Islam.

"Kita cuba memperkenalkan undang-undang syariah terutama hudud tetapi ia bukan tujuan menakutkan bukan Islam kerana kita tidak memaksa mereka (orang bukan Islam) terima.

"Hudud adalah undang-undang Allah untuk mendidik dan untuk menjatuhkan hukuman ia tidak mudah kerana ada syarat-syarat yang telah ditetapkan...ia bukan untuk membodohkan orang Islam," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan