Muhyiddin Mahu Lihat Lebih Ramai Usahawan Tani Moden

Diterbitkan: Sabtu, 1 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Golongan petani dan pengeluar makanan di negara ini digalakkan menceburi keseluruhan rantaian bekalan makanan bagi merealisasikan hasrat negara untuk menghasilkan lebih ramai usahawan tani moden tercapai, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata untuk menjadi usahawan tani moden golongan petani dan pengeluar makanan perlu terlibat sama di dalam memproses hasil tani mereka, penjenamaan dan seterusnya pemasaran produk. "Mereka mesti digalak menceburi pertanian secara moden dengan menceburi keseluruhan rantaian bekalan seperti di dalam pemprosesan, penjenamaan dan pemasaran," katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Kompleks Bimbingan Usahawan Tani Pagoh dan Hari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan Rakyat di Pagoh di sini.

Turut menghadiri majlis adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Timbalan Perdana Menteri berkata kejayaan yang dicapai oleh usahawan tani moden perlu ditonjolkan bagi membantu membetulkan persepsi silap masyarakat terhadap bidang pertanian.

"Kita perlu tonjolkan usahawan-usahawan tani moden yang telah berjaya, yang boleh memberi imej baru terhadap industri pertanian," kata beliau.

Katanya ramai di kalangan usahawan tani moden memperoleh pendapatan lumayan menerusi pembabitan mereka di dalam bidang pertanian dan menghasilkan produk-produk yang berkualiti tinggi.

Beliau mahu petani dan pengeluar makanan menggunakan kemudahan yang terdapat di Pusat Bimbingan Usahawan Tani Pagoh bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka seperti di dalam aspek penjenamaan dan pemasaran.

Terdahulu, Muhyiddin telah menyerahkan insentif dan geran berjumlah RM9.42 juta daripada pelbagai agensi di bawah kementerian kepada 366 usahawan tani bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan