Bantu Tranformasi Negara & Masyarakat Setempat - Titah Raja Permaisuri Agong

Diterbitkan: Sabtu, 1 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERNGGANU: Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah menitahkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil langkah proaktif dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang dapat memberi sumbangan bukan sahaja kepada transformasi negara tetapi juga kepada komuniti setempat.

Seri Paduka bertitah langkah ini dapat membantu masyarakat daripada terpinggir dalam arus perdana pemodenan dan menangani pelbagai isu sosial yang melanda masyarakat khususnya yang melibatkan golongan remaja.

"Isu yang melibatkan remaja ini tidak harus dipandang ringan memandangkan remaja adalah pewaris masa depan negara. Dalam konteks inilah beta meletakkan harapan yang tinggi agar universiti dapat memain peranan yang lebih terencana dalam merungkaikan masalah ini.

"Beta dimaklumkan UMT telah menubuhkan Fakulti Pembangunan Sosial (FPS) dan Pusat Pembangunan Sosioekonomi (PPS). Beta merakamkan tahniah dan syabas terhadap penubuhan fakulti dan pusat tersebut," titah Seri Paduka pada majlis Konvokesyen UMT kali kesembilan di sini, Sabtu.

Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis itu, diiringi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Pro Canselor Tan Sri Samsuddin Osman. Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Aziz Deraman.

Tuanku Nur Zahirah bertitah penubuhan FPS dan PPS yang baru itu, mampu menjadi pemangkin melalui akvititi penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan bagi mengatasi masalah sosial yang melanda masyarakat sekarang.

Melahirkan rasa bangga dengan pencapaian UMT dalam pelbagai bidang di peringkat nasional dan antarabangsa, Seri Paduka yang merupakan Canselor UMT bertitah:

"Walaupun universiti ini masih dianggap muda di persada dunia akademik, Beta berharap agar UMT terus gigih berusaha dalam mengekal dan meningkatkan kejayaan ke arah mencapai taraf unversiti penyelidikan setanding negeri universiti tersohor di dunia."

Pada majlis itu, Tuanku Nur Zahirah menyampaikan Anugerah Kehormat Doktor Sains UMT kepada Dr Mahathir.

Seramai 86 graduan menerima Diploma, 1,677 orang (Ijazah Sarjana Muda), 110 orang (Ijazah Sarjana) dan 15 graduan menerima Ijazah Kedoktoran pada konvokesyen ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan