TPM Anggap Guan Eng Seorang Yang Tidak Bertanggungjawab

Diterbitkan: Jumaat, 30 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PONTIAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai seorang yang amat tidak bertanggungjawab kerana membuat kenyataan memburuk-burukkan Johor baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tindakan Lim itu menunjukkan beliau tidak menghormati kedaulatan negeri-negeri lain di Malaysia.

"Walaupun dia ghairah untuk mempromosi negeri dia, tak payah cerita buruk tentang negeri lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra rakyat di perkarangan Masjid Jamek Kampung Sungai Bunyi di sini.

Pada satu majlis di Singapura, Lim, yang juga Setiausaha DAP, dilaporkan berkata, rakyat republik itu yang melawat Johor berkemungkinan akan diculik, dan ini tidak akan berlaku jika mereka berkunjung ke Pulau Pinang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, apabila beliau ke luar negara, beliau tidak pernah meminta negara luar supaya tidak melabur di Pulau Pinang atau Selangor walaupun kedua-dua negeri itu dipimpin oleh kerajaan pembangkang.

Katanya, walaupun dua negeri itu dipimpin oleh pembangkang tetapi rakyatnya tetap merupakan warga negara Malaysia.

"Itu bukan cara Barisan Nasional mentadbir negeri. Tidak ada Menteri Besar B Nyang kata jangan pergi ke Penang atau yang pergi promosi, kata jangan pergi ke Selangor.

"Kerana di situ rakyat kita bekerja dan di negeri lain, di Johor ada juga mereka daripada Penang yang bekerja seperti di Pasir Gudang," katanya.

Muhyiddin menambah, kerajaan sedang berusaha menurunkan kadar jenayah di negara ini dan meletakkan matlamat itu di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dilancarkan sebagai sebahagian daripada Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).

Kejayaan menurunkan kadar jenayah di seluruh Malaysia, katanya, adalah hasil kerja keras kerajaan pusat dan agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera dan agensi lain.

Muhyiddin berkata, Lim perlu memberi pengiktirafan kepada kerajaan pusat dan agensi keselamatan yang telah mengambil langkah-langkah yang perlu dalam usaha mereka untuk menurunkan kadar jenayah.

"Kita kena beri pujian apabila ianya wajar diberikan," katanya.

Muhyiddin berkata, sebagai pengerusi jawatankuasa yang memantau NKRA, beliau mendapat laporan daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar setiap bulan, dan mengikut laporan indeks jenayah 2010 berbanding 2009, secara keseluruhannya ia menurun sebanyak 15 peratus, dengan Johor mencatatkan penurunan sebanyak 18 peratus manakala Pulau Pinang pula sebanyak 26 peratus.

Jenayah jalanan turut mencatat penurunan pada tempoh perbandingan yang sama, dengan kadar penurunan di Johor adalah sebanyak 47 peratus, manakala penurunan di Pulau Pinang adalah sebanyak 27 peratus.

Mengenai desakan daripada pelbagai pihak yang mahukan Lim meminta maaf, Muhyiddin berkata, jika Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah melakukan kesalahan tiada salah untuknya meminta maaf.

"Jikalau dia sudah lakukan kesalahan, apa salah dia kata 'sorry saya tersilap cakap'. Saya fikir pemimpin yang berjiwa besar adalah pemimpin yang bersedia untuk mengakui kesilapan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan