Timbalan Speaker DUN, Tujuh Menteri Muda Baru Angkat Sumpah

Diterbitkan: Jumaat, 30 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru dan tujuh muka baru yang dilantik menjadi Menteri Muda mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Jumaat.

Upacara mengangkat sumpah yang berlangsung di Dewan Lapau, bangunan DUN Sarawak baru disaksikan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Kabinet negeri dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Mendahului acara ialah upacara angkat sumpah Timbalan Speaker DUN Sarawak iaitu Datuk Roland Sagah Wee Inn dan diikuti angkat sumpah tujuh Menteri Muda baru.

Menteri Muda berkenaan ialah Rosey Yunus, Robert Lawson Chuat Vincent, Julaihi Narawi, Abdul Karim Hamzah, Datuk Len Talif Salleh, Dr Jerip Susil dan Liwan Lagang.

Abdul Taib ketika mengumumkan senarai Kabinet negeri Rabu lalu melantik Rosey dan Lawson sebagai Menteri Muda di Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga; Julaihi sebagai Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) dan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Abdul Karim sebagai Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Sosial (Pembangunan Belia).

Len Talif dilantik sebagai Menteri Muda Perancangan Sumber dan Alam Sekitar dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal); Dr Jerip sebagai Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti (Kesihatan Awam) dan Liwan sebagai Menteri Muda Pembangunan Sosial (Kebudayaan dan Warisan). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan