Standard Pengurusan Islam Perlu Sebagai Tanda Aras Dalam Amalan Dan Perkhidmatan Islam

Diterbitkan: Jumaat, 30 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Satu Standard Pengurusan Islam perlu digubal untuk menjadi penanda aras dalam amalan dan perkhidmatan Islam di kalangan pentadbir hal ehwal Islam di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkara itu amat penting dalam meningkatkan fungsi pegawai hal ehwal Islam sebagai pentadbir, pengurus, pakar rujuk dan penasihat dalam bidang keagamaan.

"Kerajaan amat komited dalam pembangunan Islam sejak merdeka sehingga kini dan sentiasa melihat struktur pentadbiran agama perlu diperkasa sesuai dengan perkembangan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Transformasi Sistem Pengurusan Islam di Malaysia 2011 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pada Jumaat.

Najib berkata penjawat awam dalam bidang jabatan agama dan guru-guru agama seharusnya berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab serta amanah dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif di luar kelaziman.

Katanya perkara ini perlu agar jabatan agama dan institusi yang berkaitan terus cemerlang dalam perkhidmatan kepada rakyat.

"Pegawai-pegawai tersebut memerlukan pelbagai kemahiran bagi meningkatkan kompetensi pegawai hal ehwal Islam dalam bidang agama sehingga diiktiraf benar-benar profesional dalam bidang tersebut," katanya. Najib berkata sesebuah organisasi yang mahu ditakrif sebagai dinamik perlu berubah dan terus bergerak maju ke hadapan sesuai dengan tuntutan semasa, keadaan persekitaran dan kehendak masyarakat.

Institusi agama juga perlu memberi perkhidmatan yang terbaik dan memperteguhkan ketamadunan masyarakat berdasarkan perancangan pembangunan umat Islam yang sistematik untuk terus kekal relevan, katanya.

Perdana Menteri berkata asas perubahan yang paling penting dalam memajukan sesuatu organisasi adalah perubahan jiwa dan minda yang turut melibatkan perubahan budaya daripada segi nilai-nilai hidup.

Katanya nilai dalam hal ini merujuk kepada hal-hal yang dianggap penting oleh sesebuah masyarakat, merangkumi nilai ilmu, akhlak, ekonomi, kuasa, seni dan lain-lain yang disusun menurut urutan keutamaan.

"Pembangunan dan transformasi dalam Islam adalah keupayaan bersama untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya sama ada di dunia mahupun di akhirat di dalam satu proses yang harmonis dan dinamis," katanya.

Dalam pada itu, Najib menegaskan bahawa kerajaan memberi komitmen tinggi untuk menyokong usaha transformasi sistem pengurusan Islam demi kebaikan negara.

Katanya institusi khususnya berkaitan hal ehwal agama akan terus diperkassa dengan peruntukan yang lebih besar.

Selain itu, beliau berkata kerajaan tetap menghormati kuasa negeri dalam hal ehwal agama dan dalam masa yang sama akan melihat ruang-ruang untuk memperkukuhkan aspek pentadbiran Islam di negara ini.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan buku bertajuk 'Pendekatan Wasatiyyah Dalam Menghayati 1Malaysia'.

Buku itu bertujuan memberi penerangan dan penjelasan terhadap konsep wassatiyyah bersulam falsafah teras 1Malaysia yang diketengahkan oleh pentadbiran kerajaan.

Karnival Transformasi Sistem Pengurusan Islam di Malaysia ini berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, antara lain mempamerkan khazanah lama serta memaparkan transformasi Islam yang berlaku sejak dulu.

Turut diadakan ialah seminar untuk membincangkan hal ehwal Islam termasuk pendidikan, sistem perbankan dan kewangan serta kebudayaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan