Pusat Beli-Belah Empire Gallery Dijangka Dibuka Dalam Tempoh Sebulan

Diterbitkan: Jumaat, 30 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pusat membeli-belah Empire Gallery yang ditutup berikutan letupan Rabu lepas, dijangka beroperasi semula dalam tempoh sebulan, kata Pengurus Besar Empire Shopping Gallery May Woo.

Beliau berkata 10 hari pertama, kerja-kerja pembersihan di kawasan ruang legar dan pejalan kaki di pusat membeli-belah itu akan dilakukan, manakala baki 20 hari lagi diperuntukkan untuk penyewa melakukan pengubahsuaian di kedai mereka.

"Kami jangkakan pusat membeli-belah ini dibuka kepada orang ramai dalam tempoh sebulan. Pada masa ini, persediaan sedang dijalankan untuk membuka semula gedung membeli-belah ini," katanya pada sidang media di Subang Jaya di sini, Jumaat.

Sementara itu, Pengurus Kumpulan Hotel Empire, Ricky Ho berkata hotel itu telah bersedia untuk menerima tetamu semula selepas sukarela menghentikan operasi sebagai langkah keselamatan berikutan insiden berkenaan.

"Insiden yang tidak dijangka ini telah menyebabkan hotel membatalkan semua tempahan yang dibuat untuk penginapan dan bankuet sekurang-kurangnya hingga 15 Oktober," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembekalan dan Harga Gas Suruhanjaya Tenaga, Roslee Esman berkata walaupun pusat membeli-belah itu dijangka beroperasi dalam masa sebulan, tetapi siasatan berhubung letupan itu masih diteruskan, dan ia dijangka mengambil masa antara satu hingga tiga bulan untuk mengetahui puncanya.

"Laporan serentak oleh agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Suruhanjaya Tenaga tentang punca sebenar letupan hanya boleh diperolehi dalam (lingkungan) tempoh itu. Jangka masa yang perlu bagi kita untuk melakukan siasatan daripada pelbagai sudut," katanya.

Katanya pelepasan gas yang tidak disengajakan di tingkat bawah gedung membeli-belah itu dipercayai menjadi punca letupan, bagaimanapun punca sebenar letupan itu masih dalam siasatan.

"Dari laporan awal, sistem paip gas utama di pusat membeli-belah itu dalam keadaan baik dan pemeriksaan terakhir oleh suruhanjaya itu dijalankan pada Julai lepas," katanya.

Insiden yang berlaku pada 3.45 pagi itu turut menyebabkan empat orang cedera. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan