Layanan Serupa Kepada Semua Sekolah - PM

Diterbitkan: Jumaat, 30 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan semula bahawa kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan beliau memberi layanan serupa kepada semua aliran sekolah di Malaysia tanpa diskriminasi.

Beliau berkata kerajaan akan terus menyokong dan membantu institusi pendidikan awam serta swasta di Malaysia.

"Izinkan saya menegaskan semula bahawa kerajaan saya adalah kerajaan rakyat dan kami memberi layanan yang sama kepada semua aliran sekolah di Malaysia tanpa diskriminasi," katanya dalam ucapan perasmian majlis 'Anugerah Pencapaian Emas' Kolej Han Chiang di sini, Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Najib berkata perpaduan dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia akan membantu negara mengharungi krisis ekonomi dunia dan menjadi contoh yang baik kepada negara lain di dunia.

"Saya percaya jika kita dapat bekerjasama tanpa sebarang diskriminasi kaum, kita akan dapat bergerak ke arah sebuah masyarakat yang adil dan menjadi negara maju pada 2020," katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata institusi pendidikan juga boleh menggandakan usaha untuk menggalakkan keharmonian kaum ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.

"Saya sentiasa mendukung pendidikan yang liberal. Sebagai contoh, pada 1983, semasa saya menjadi Menteri Pelajaran, saya meluluskan penubuhan kampus baru Sekolah Tinggi Foon Yew di Kulai, Johor.

"Hari ini, Sekolah Tinggi Foon Yew merupakan sekolah Cina terbesar di Malaysia dengan hampir 10,000 pelajar," katanya, sambil menambah Kolej Han Chiang diwujudkan setahun kemudian iaitu pada 1999.

Beliau berkata penubuhan Sekolah Tinggi Foon Yew di selatan dan Kolej Han Chiang di utara membuktikan bahawa kerajaan bersikap terbuka dan menyokong pendidikan Cina di Malaysia sejajar dengan dasar pendidikan demokratiknya.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kolej Han Chiang terhadap usaha dan pencapaian cemerlangnya dalam mendidik dan mengasuh bakat bagi negara ini sejak sepuluh tahun lepas, terutama sekali dalam memupuk kalangan pengamal media," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Selasa, 15 Ogos 2017 9:00 AM

Abang Long Fadil 2 Telan Belanja RM 3.2 Juta

Kolumnis

iklan

Iklan