Transkrip Sidang Akhbar Pakatan Rakyat Mengenai Isu Hudud

Diterbitkan: Khamis, 29 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pakatan Rakyat mengenai isu hudud yang berlangsung di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut di sini bermula jam 8 malam semalam (Rabu) dan hanya berakhir pada lebih kurang jam 1 pagi (Khamis).

Berikut adalah petikan transkrip soal-jawab di antara wartawan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (yang mewakili Pakatan Rakyat) berhubung hasil mesyuarat tersebut.

Wartawan: Apakah bentuk penyelesaian yang telah dicapai di antara pendirian DAP dan PAS mengenai pelaksanaan undang-undang Islam (dan) apa bentuk tolak ansur yang dicapai oleh Pakatan Rakyat (kerana) Karpal (Singh) menyatakan dengan tegas bahawa DAP akan meninggalkan Pakatan Rakyat (berhubung isu hudud).

Anwar Ibrahim: Rakan-rakan saya yang lain boleh tambah (dalam hal ini). Sebenarnya tiada rujukan langsung ke atas perkara itu (pelaksanaan undang-undang/negara Islam). Satu-satunya perkara yang dirujuk di sini ialah soal berkaitan dengan dua enakmen lama iaitu di Kelantan (1993) dan Terengganu (2003). Semua pihak mengakui akan perbezaan ini dan juga perkara tersebut dan juga segalanya tertakluk kepada semangat konsensus (di kalangan pakatan) dan semangat perlembagaan persekutuan. Tidak ada kompromi dalam soal itu.

Wartawan: Jadi adakah ini bermakna mulai esok, PAS akan berkata “Ya kami tidak akan melaksanakan hukum hudud kerana ia tidak selari dengan aspirasi pakatan secara keseluruhannya?

Anwar: Biar saya jelaskan di sini bahawa kedua-dua enakmen yang saya sebutkan tadi telah ada tetapi masih perlu merujuk kepada Pakatan Rakyat kerana ia melibatkan soal meminda perlembagaan persekutuan. Jadi ia bukan lagi satu isu. Exco Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan juga hadir di sini yang telah menjelaskan pendirian Kerajaan Kelantan dan keperluan untuk melaksanakan hukum itu hanya boleh dilakukan selepas pindaan dilakukan ke atas perlembagaan persekutuan. Jadi itulah situasinya dan oleh yang demikian ia tidak relevan dengan soalan yang ditanya.

Wartawan: Jadi jawapannya ialah segala-galanya perlu menunggu pindaan ke atas perlembagaan persekutuan dilakukan terlebih dahulu yang bermakna memerlukan sokongan ahli-ahli Parlimen untuk berbuat demikian tetapi Datuk Seri menyatakan aspirasi PAS ialah untuk melaksanakan hukum hudud namun bergantung kepada konsensus untuk meminda perlembagaan terlebih dahulu?

Anwar: Ia memerlukan konsensus Pakatan Rakyat dan juga pindaan ke atas perlembagaan persekutuan dan pendirian DAP ialah mereka tidak di dalam posisi untuk menyokong cadangan itu. Ia adalah sangat jelas...terima kasih.

Wartawan: Untuk penjelasan...adakah ini bermakna Pakatan tidak boleh meneruskan undang-undang hudud kerana DAP enggan menyokongnya?

Anwar: Pakatan menghormati inisiatif dan aspirasi PAS (berhubung hudud) tetapi Pakatan perlu mencapai konsensus untuk meminda perlembagaan persekutuan terlebih dahulu.

Wartawan: Hari ini tidak capai konsensus itu?

Anwar: Pendirian yang dicapai hari ini amat jelas...DAP tidak setuju (hudud) manakala Keadilan dan PAS menghormati keputusan tersebut.

Wartawan: Jadi apa yang boleh menghalang PAS daripada menimbulkan isu ini lagi pada masa akan datang.

Anwar: Kenapa harus kita menafikan PAS daripada memperkatakan isu atau membincangkannya pada masa hadapan? Ini adalah proses demokratik, ini bukanlah Pakatan Rakyat yang dikawal oleh Umno. Kami sentiasa menghormati hak rakyat untuk mengemukakan sebarang cadangan, menanya soalan, membangkitkan sebarang isu tetapi akhirnya yang menentukan ialah semangat konsensus. Maksud saya untuk menafikan hak PAS untuk memperkatakan isu ini atau apa jua pendirian mereka adalah sesuatu yang tidak adil. Kita tidak boleh menafikan hak mana-mana pihak termasuk PAS, DAP atau Keadilan untuk mengemukakan apa juga pandangan. Dalam kes undang-undang syariah, kita tidak boleh menghalang PAS daripada mengemukakan pandangan dalam mesyuarat atau di luar mesyuarat sebab pendirian kita jelas...menghormati hak dan aspirasi PAS. Cuma ia terikat dengan apa yang kita sebut dasar bersama, semangat perlembagaan dan buku jingga.

Wartawan: Tetapi bercakap tentang proses demokratik, kenapa Pakatan mengeluarkan arahan larangan pemimpin pakatan daripada bercakap mengenai soal pembahagian kerusi dua minggu lalu?

Anwar: Ia bukanlah satu larangan yang serius...semua orang mengemukakan pandngan masing-masing tapi kita meminta agar ia selari dan konsisten dengan kedudukan yang telah diambil oleh parti dan semangat Pakatan Rakyat. Itu sahaja.

Wartawan: Apabila Datuk Seri menyebut tentang konsensus, apakah ini bermakna ketiga-tiga parti dalam pakatan perlu bersetuju?

Anwar: Konsensus tentang perlembagaan persekutuan, dasar bersama dan buku jingga.

Wartawan: Apakah pendirian mengenai soal hudud ini akan dikaji semula pada masa hadapan?

Anwar: Kita sentiasa boleh berbincang mengenai perkara ini dalam mesyuarat akan datang. Tidak ada apa yang patut menghalang kami daripada berbincang mengenainya. Datuk Seri Hadi Awang dan Datuk Takiyuddin yang mewakili Kerajaan Kelantan telah menjelaskan mengenai hudud.

Wartawan: Tapi Datuk Seri, perkara ini pertama kali ditimbulkan oleh Tok Guru Nik Aziz. Apakah Tok Guru dijelaskan mengenai keputusan bersama ini.

Anwar: Kita hormati pendirian Tok Guru Nik Aziz. Kita dengar...saya sendiri ada hubungi beliau, Datuk Seri Hadi Awang dan pimpinan PAS yang lain ada hubungi beliau dan beliau sendiri telah menghantar Datuk Takiyuddin mewakili kerajaan negeri untuk bantu jelaskan kepada kita...terima kasih dan selamat malam.

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan