Bank Rakyat Jangka Untung Sebelum Cukai & Zakat RM2 Bilion

Diterbitkan: Khamis, 29 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menjangka keuntungan sebelum cukai dan zakatnya mencecah RM2 bilion bagi tahun kewangan semasanya yang berakhir pada 31 Disember 2011.

Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, berdasarkan keuntungan berjumlah RM979 juta bagi tempoh enam bulan pertama, bank itu yakin dapat mencapai sasaran itu. "Bagi tahun kewangan sebelum ini, kami mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.72 bilion, iaitu yang tertinggi sejak penubuhan bank pada 1954.

"Sasaran RM2 bilion itu lebih tinggi sedikit berbanding sasaran RM1.85 bilion sebelum ini," katanya kepada pemberita pada majlis perayaan ulang tahun ke-57 dan rumah terbuka Hari Raya bank itu di sini hari ini.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kamaruzaman menjangka pembiayaan pengguna kekal sebagai penyumbang utama kepada keuntungan bagi tahun semasa.

Beliau juga menjangka pinjaman keseluruhan bank itu meningkat sebanyak 11 peratus hingga 12 peratus tahun ini berbanding 19 peratus tahun lepas.

Hingga Jun tahun ini, keseluruhan pinjaman berjumlah RM47 bilion berbanding RM45 bilion pada Disember tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan