Isu Gereja: Tunggu Titah Sultan Selangor - Abdul Khalid

Diterbitkan: Rabu, 28 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akur dengan jalan penyelesaian yang diberikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Abdul Khalid berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beliau menghadap baginda pada pagi Rabu untuk membincangkan laporan yang telah disediakan oleh JAIS.

"Baginda selaku ketua agama Islam di Selangor telah berkenan untuk memberikan pandangan dan nasihat untuk menyelesaikan isu ini dengan cara terbaik.

"Kerajaan negeri Selangor, akan akur dengan segala nasihat dan jalan penyelesaian yang akan dikemukakan oleh baginda," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, Rabu.

Beliau berkata, baginda dijangka mengeluarkan titah dalam tempoh terdekat mengenai isu pemeriksaan ke atas DUMC.

Justeru, tiada sebarang ulasan akan diberikan sehingga baginda mengeluarkan titah dalam isu tersebut.

"Kami yakin bahawa keputusan yang akan dibuat oleh Sultan Selangor adalah yang terbaik untuk masyarakat pelbagai kaum dan agama di Selangor di samping memelihara kesucian agama Islam itu sendiri.

"Saya dan juga barisan Exco tidak akan membuat sebarang ulasan mengenai isu ini bagi menghormati keputusan Sultan Selangor, " katanya.

Jelasnya, beliau akan hanya bertemu media dan memberi ulasan lanjut berhubung laporan itu selepas titah oleh Tuanku dibuat.

Pada 3 Ogos lalu, penguatkuasa JAIS melakukan pemeriksaan ke atas DUMC setelah mendapat maklumat adanya cubaan memurtadkan orang Islam di satu majlis makan malam anjuran Komuniti Harapan.

Mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Dalam perkembangan lain, mengenai letupan di pusat membeli belah Empire Gallery awal pagi Rabu, Abdul Khalid berkata beliau akan bertemu dengan pihak pemilik dan pemaju petang Rabu bagi mengetahui punca kejadian itu berlaku.

"Pihak bomba dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) masih mengesan punca kejadian terbabit. Saya akan turun melihat tempat tersebut," katanya.

Pada pagi Rabu, satu letupan kuat berlaku di pusat beli-belah Empire Shopping Gallery, Subang Jaya menyebabkan empat cedera.

Kejadian jam 3.45 pagi itu turut menyebabkan kerosakan teruk di beberapa premis termasuk rangkaian cafe terkenal dengan bumbung dan kaca beberapa premis lain runtuh dan pecah.

Siasatan awal mendapati letupan terjadi di luar kompleks itu dan melibatkan saluran gas.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan