BN Perak Pantau Calon Pilihan Raya Sepanjang Masa

Diterbitkan: Rabu, 28 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAGAN SERAI: Barisan Nasional (BN) akan menilai bakal calon parti bagi pilihan raya umum akan datang pada sepanjang masa bagi memastikan mereka benar-benar layak dan mampu menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin, kata Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata faktor umur atau kekananan dalam parti bukan menjadi penentu kepada keputusan pemilihan calon yang akan mewakili parti.

"Apa yang menjadi kepentingan dalam pemilihan calon adalah sama ada pemimpin berkenaan mampu menggalas tanggungjawab dan disukai rakyat.

"Sama ada calon itu muda, tua, baru atau lama tidak harus dijadikan kayu ukuran kerana aspek likeable (disukai) dan winnable (boleh menang) merupakan faktor pemilihan calon bagi parti," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Pejabat Penghulu Mukim Tanjung Piandang di sini, Rabu.

Zambry, yang juga Menteri Besar Perak, berkata setiap calon yang bakal dipilih dinilai sepanjang masa bagi melihat sama ada mereka layak dan mampu menggalas tanggungjawab.

"Mereka yang kita nilai dari masa ke masa dan bukan hanya berdasarkan kepada masa tertentu sahaja atau pun tahun tertentu… mereka ini akan dipantau dan dinilai daripada segi gerak kerja mereka, bukan semata-mata mereka disukai sahaja.

"Penilaian kita bukan dibuat dalam satu tempoh masa sebaliknya ia dilakukan secara berterusan. Kita akan ambil kira aspek penilaian yang diberikan rakyat termasuk juga penilaian yang diberikan oleh parti," ujarnya.

Beliau berkata BN negeri telah mengenal pasti senarai calon berkenaan dan ia termasuk muka-muka baru yang berpotensi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan