Rosmah Alu-alukan Kanak-kanak Prasekolah Diberi Pendedahan Seni

Diterbitkan: Selasa, 27 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau amat mengalu-alukan kanak-kanak prasekolah diberi pendedahan seni, di samping pendidikan akademik.

Katanya kepelbagaian pembelajaran akan membantu proses pembinaan personaliti dan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.

"Kajian mendapati bahawa melalui seni, tidak kira sama ada nyanyian, tarian, lakonan dan sebagainya akan membantu kanak-kanak agar lebih fokus, berdisiplin serta meluaskan kemahiran pergaulan mereka dan lebih berkeyakinan diri.

"Seterusnya, mengikut kajian yang dilakukan oleh Stanford University, ia mendapati bahawa bidang seni mendidik kanak-kanak dalam membuat penilaian dan perhitungan, penyelesaian masalah dan memupuk aspek pemikiran kreatif," katanya pada majlis 'Kasih Dititip Budi Bersemi' anjuran Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Daerah Seremban dan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut dekat sini, Selasa.

Oleh itu, katanya: "Adalah penting bagi kita memastikan permulaan yang baik bagi generasi kanak-kanak hari ini jika kita ingin melihat tamadun bangsa kita lebih berjaya dan cemerlang di masa hadapan."

"Kita boleh membina hari esok yang lebih terjamin dengan meletakkan asas yang kukuh kepada anak-anak kita pada hari ini. Justeru, sekiranya aspek seni diberi penekanan dalam pendidikan awam kanak-kanak, saya percaya kita mampu untuk membentuk sebuah bangsa Malaysia yang cemerlang, kreatif, penyayang dan berketrampilan.

"Menyedari hakikat bahawa bidang seni ada kaitannya dengan pembangunan kanak-kanak secara keseluruhannya, dari itu saya telah mewujudkan program Permata Seni pada awal tahun lalu," katanya.

Katanya program itu khusus kepada pelajar pintar yang mempunyai kebolehan istimewa dalam bidang seni.

Melalui program Permata Seni, ia telah dapat mengenal pasti kanak-kanak yang mempunyai bakat dan tahap potensi yang tinggi dalam bidang seni untuk diberikan pendedahan dan latihan supaya mereka dapat mempertingkatkan kecemerlangan dalam bidang seni mereka.

Beliau berkata program Permata Seni ini merangkumi tiga bidang seni iaitu seni koir, seni muzik dan seni tari bagi kanak-kanak yang berumur di antara tujuh hingga 12 tahun.

Katanya ia kini dianggotai oleh seramai 150 orang kanak-kanak dalam ketiga-tiga bidang tersebut dan walaupun kewujudannya tidak sampai dua tahun, namun pencapaiannya amat membanggakan.

"InsyaAllah, pada hujung tahun ini kami akan menganjurkan Festival Seni Kanak-Kanak yang akan disertai oleh lapan negara seperti Singapura, Filipina, India, China, Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka dan Malaysia sendiri," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan