Malaysia Tetap Main Peranan Penting Dalam Unesco

Diterbitkan: Selasa, 27 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PARIS: Malaysia akan tetap memainkan peranan penting dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (Unesco) walaupun keanggotaannya dalam lembaga mesyuarat eksekutif badan itu tamat bulan depan.

Wakil Tetap Malaysia ke Unesco, Ali Abdul Ghani berkata untuk memastikan peranan Malaysia memberikan impak besar dalam badan dunia itu, negara berusaha menjadi anggota dalam jawatankuasa lain dalam badan itu yang berjumlah 14.

Beliau menjelaskan Malaysia sedang melobi untuk menjadi anggota jawatankuasa Biro Pendidikan Antarabangsa (IBE) dan Majlis Warisan Dunia (WHC) yang pemilihannya akan dibuat pada perhimpunan agung badan tersebut pada 25 Okt hingga 10 Nov ini.

"Kita (Malaysia) sudah pun menang dan menjadi anggota Jawatankuasa Oseanografi Antara Kerajaan (IOC) pada Jun lepas," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja dua hari Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghadiri mesyuarat lembaga eksekutif Unesco di sini bermula Isnin.

Muhyiddin dijadual menyampaikan ucapan selepas perasmian mesyuarat itu pada(Selasa). Penggal empat tahun Malaysia selaku anggota lembaga eksekutif yang mewakili Asia, tamat Oktober ini.

Ketika ditanya peluang Malaysia untuk dipilih mengganggotai IBE dan WHC, beliau berkata peluang negara amat cerah berdasarkan maklumat balas amat positif daripada negara anggota berkenaan.

Mengenai IBE, beliau berkata Unesco kini menumpukan kepada pendidikan teknikal dan vokasional menerusi program Pendidikan Untuk Semua (EFA) bagi memberi peluang pendidikan lebih luas kepada pelajar untuk memasuki pasaran kerja dan juga memastikan mereka tidak tercicir.

Ini berdasarkan hakikat bahawa hanya 35 peratus pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi manakala 65 peratus lagi mungkin keciciran.

Beliau berkata badan itu mencadangkan kerjasama dalam bidang teknikal dan vokasional diadakan melibatkan negara anggota bagi memberikan pendedahan lebih baik kepada mereka.

Mengenai WHC, beliau berkata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara Datuk Prof Emeritus Zuraina Abdul Majid sedang berusaha melobi sokongan daripada negara anggota.

Ali berkata ini merupakan julung kali Malaysia menawarkan diri untuk mengisi sembilan tempat dalam jawatankuasa itu berikutan negara sudah mempunyai kepakaran selain mempunyai tapak warisan dunia iaitu Melaka dan Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai Warisan Kebudayaan, selain Taman Negara Kinabalu dan Taman Negara Mulu sebagai Warisan Semulajadi.

Ditanya negara mana bakal memberikan saingan kepada Malaysia, beliau berkata pastinya Arab Saudi daripada segi dana, Jepun dan Jerman daripada segi kemahiran dan kepakaran dan India daripada segi tapak warisan.

Namun, beliau berkata walaupun sebagai anggota biasa, Malaysia akan tetap aktif memberi pandangan, sokongan dan kerjasama dalam menjayakan semua inisiatif Unesco.

Mengenai bila dana pendidikan sebanyak US$5 juta (RM15.9 juta) yang dijanjikan Malaysia kepada Unesco akan disalurkan, beliau berkata ia masih tertangguh berikutan aspek undang-undangnya sedang diperincikan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan