Malaysia Kekal Kedudukan Ketiga Pada Penarafan Kemampanan Asia

Diterbitkan: Selasa, 27 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mengekalkan kedudukan ketiganya pada Penarafan Kemampanan Asia (ASR) 2011 walau pun mencatatkan skor purata yang lebih rendah pada tahun ini.

Pada tahun ini, ia mencatatkan skor purata 39 peratus daripada 42 peratus pada tahun lepas berikutan langkah memasukkan syarikat baharu dan yang mencatatkan prestasi yang rendah, yang mengekang skor Malaysia dan mencukupi sehingga menyebabkan penurunan purata bagi negara ini.

Bagaimanapun, purata itu kemungkinan meningkat berikutan jangkaan Bursa Malaysia akan melancarkan Indeks Alam Sekitar, Sosial dan Kerajaan (ESG) menjelang akhir 2012.

ASR melibatkan 100 petunjuk kemampanan, yang meliputi pendedahan elemen utama risiko ESG, yang terdiri daripada 750 syarikat daripada 10 negara Asia terpilih mengikut pengapungan bebas di pasaran modal.

Syarikat Korea Selatan mengekalkan kedudukan pertama secara keseluruhannya yang kebanyakannya mencapai markah yang tinggi di segi pendedahan alam sekitar.

Thailand menduduki tempat kedua, yang meningkat dua kedudukan berbanding tahun lepas, manakala India turun dua kedudukan ke tempat keempat, diikuti oleh Taiwan, Singapura, China, Indonesia, Hong Kong dan Filipina.

Pengasas Bersama dan Pengerusi CSR Asia Dr Richard Welford berkata kerajaan Malaysia terus menjadi pemacu utama bagi agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Ada Perdana Menteri yang sentiasa bercakap mengenai CSR dan mereka sedar ada peranan bagi sektor swasta untuk dimainkan di dalam pembangunan negara masing-masing," katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak CSR Asia 2011.

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai CSR di kalangan syarikat tempatan, kerajaan perlu menggalakkan sektor swasta untuk memainkan peranan masing-masing, katanya.

"Kita perlu memberikan galakan dan sedikit daya tolak, jadi, saya rasa adalah penting bagi kerajaan untuk menggalakkan kita dan saya berharap kerajaan akan bercakap lebih banyak mengenai isu CSR," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan