Bekas Pemimpin KITA Bawa Isu Tindakan Disiplin Ke ROS

Diterbitkan: Selasa, 27 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dua bekas pemimpin tertinggi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) akan membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Selasa berhubung tindakan disiplin yang dikenakan terhadap mereka oleh Presidennya, Datuk Zaid Ibrahim baru-baru ini.

Kedua-dua pemimpin itu, ahli jawatankuasa eksekutif pusat, Muhammad Firdaus Christopher yang digantung keahlian manakala Abdul Latif A. Tambi dipecat sebagai Setiausaha Pusat mendakwa bahawa tindakan tatatertib tersebut dilakukan tidak mengikut perlembagaan parti.

"Pemecatan saya tidak mengikut prosedur perlembagaan parti. Kami telah berbincang dengan ROS minggu lalu dan kami akan membuat aduan bertulis di Putrajaya esok.

"Saya tidak pernah mengabaikan tugas sepanjang berkhidmat kepada parti. Jadi saya serahkan perkara ini kepada ROS untuk disiasat dan diambil tindakan," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Menurut Abdul Latif, beliau digugurkan daripada jawatannya berkuatkuasa 14 September lalu menerusi emel yang dihantar Zaid sebelum menerima surat penggantungan keahlian daripada jawatankuasa disiplin pada 23 September.

"Tindakan disiplin itu mengatakan saya menghasut pemimpin supaya meninggalkan parti dan membocorkan maklumat parti. Ia tidak benar dan berunsur fitnah," katanya.

Beliau turut menyangkal dakwaan terlibat dalam rancangan untuk menjatuhkan Zaid selaku Presiden parti.

"Sebagai Setiausaha Pusat parti, adalah menjadi tanggungjawab saya bertemu pemimpin untuk membincangkan soal parti... jauh sekali ingin menjatuhkan ketua parti," tegasnya.

Jelas beliau, dalam perlembagaan parti, ketua parti boleh melantik beberapa jawatan dalam parti tetapi tidak boleh memecat mana-mana pemimpinnya.

"Pemecatan saya jelas melanggar perlembagaan parti. Saya diberhentikan tanpa sebab dan tidak diberi peluang untuk membela diri. Saya serahkan perkara ini kepada ROS untuk disiasat dan diambil tindakan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata, beliau hanya mengetahui mengenai penggantungan keahliannya melalui media sebelum menerima surat rasmi pada 21 September.

"Saya minta sesiapa saja yang tidak tahu perkara sebenar supaya hentikan segala tohmahan ini. Perkara ini akan dibawa ke Ros esok. Kami akan memperjuangkan ketidakadilan dan salah laku di dalam parti ini," katanya.

Ketika ditanya sama beliau akan kembali kepada parti, Muhammad Firdaus berkata, selagi khidmatnya diperlukan beliau akan terus memperjuangkan manifesto parti demi kepentingan rakyat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan