Akta Perumahan Dipinda Untuk Kurangkan Projek Terbengkalai

Diterbitkan: Selasa, 27 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membentangkan usul di Dewan Rakyat untuk meminda akta perumahan bagi mengurangkan kes projek perumahan terbengkalai di negara ini.

Menteri berkenaan, Datuk Wira Chor Chee Heung berkata antara pindaan itu ialah mensyaratkan pemaju meletakkan wang deposit tiga peratus dari keseluruhan projek yang akan dibangunkan.

"Ketika ini pemaju hanya perlu meletakkan wang deposit sebanyak RM200,000 dan mempunyai sebidang tanah sebelum lesen dikeluarkan.

"Dengan pindaan baru ini jika projek tersebut dilihat mempunyai masalah, wang deposit tersebut akan digunakan untuk menampung masalah itu," katanya.

Chor berkata KPKT turut mensasarkan bahawa mulai 2015 semua pemaju diwajibkan membina dan menyiapkan rumah terlebih dahulu sebelum boleh dijual.

"Beberapa kaedah boleh digunakan seperti jika pembeli masih perlu membayar, hanya perlu (membayar) sebanyak 10 peratus dari harga rumah dan selebihnya boleh dibayar apabila rumah tersebut siap sepenuhnya," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Pemulihan Perumahan Taman Prima Hijau di Rawang, dekat sini, Isnin.

Chor berkata selain itu KPKT akan turut mengkaji mewujudkan kerjasama antara syarikat pemaju, syarikat insurans dan pembeli.

"Sebagai contoh syarikat insurans boleh menjadi penjamin kepada pembeli yang telah membuat bayaran perumahan, jika pembeli sudah membayar 40 peratus daripada keseluruhan nilai rumah dan pemaju tidak lagi mampu meneruskan projek berkenaan wang akan dikembalikan oleh syarikat insurans. "Namun semua itu masih dalam peringkat perancangan dan perlu dapatkan persetujuan semua pihak sebelum mampu dilaksanakan," katanya.

Chor berkata akta baru itu akan memudahkan tindakan diambil seperti menggunakan Kanun Keseksaan terhadap pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan kerana menipu pembeli.

Sementara itu, Chor mengingatkan penghuni rumah strata (flat) agar menunjukkan tanggungjawab membayar wang penyelenggaraan di kawasan perumahan masing-masing.

"Dapat dilihat rumah-rumah strata (flat) yang sudah siap dan diduduki penghuni akan hanya nampak cantik dalam tempoh yang singkat, selepas dua tiga tahun rumah tersebut nampak buruk dengan sampah sarap merata.

"Ini semua berpunca daripada penghuni tidak membayar wang penyelenggaraan," katanya.

Beliau berkata KPKT memandang serius masalah berkenaan dan menegaskan sebenarnya ada akta yang boleh digunakan untuk mendakwa mereka yang enggan membayar wang penyelenggaraan.

"KPKT menasihatkan jawatankuasa bersama agar bertindak lebih tegas untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Pada majlis itu, Chor menyerahkan kunci rumah kepada 54 pembeli taman berkenaan yang sebelum ini terbengkalai selama lima tahun. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan