Hudud: Pemimpin Pakatan Rakyat Diarah Tutup Mulut

Diterbitkan: Isnin, 26 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat secara sebulat suara bersetuju untuk mengarahkan agar kesemua pimpinan parti masing-masing agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu pelaksanaan hukum hudud sehingga mesyuarat parti komponen itu berlangsung Rabu ini.

Arahan tersebut dikeluarkan berikutan isu hukum hudud yang menjadi polemik antara PAS dan DAP sejak minggu lalu.

Perkara itu diumumkan pada sidang media di ibu Pejabat PAS, yang disertai Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan rakan sejawatannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail serta Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.

Loke mewakili Lim Guan Eng kerana Ketua Menteri Pulau Pinang kini berada di luar negara.

Khamis lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat dilaporkan berkata beliau tidak kisah sekiranya DAP keluar daripada pakatan pembangkang jika tidak setuju dengan pendirian Kerajaan Kelantan untuk membentuk negara Islam dan melaksanakan hukum hudud di negeri itu.

Mursyidul Am PAS itu dipetik sebagai berkata, DAP pernah keluar daripada kerjasama pembangkang ketika dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dahulu dan menyertai semula pakatan pembangkang selepas itu.

Bagaimanapun, isu mengenai pelaksanaan hukum hudud ini menjadi semakin panas apabila Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyokong Kelantan melaksanakan hukum hudud.

Pengerusi DAP, Karpal Singh dilaporkan terkejut dengan komen Anwar itu dan mempersoalkan hasrat Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan juga hudud kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan