Pemilik Kad Kredit Tergoda Dengan Tawaran Walaupun Berdepan Dilema Hutang

Diterbitkan: Ahad, 25 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sebilangan besar pemilik kad kredit tidak berupaya untuk membebaskan diri daripada cengkaman hutang kerana terus digoda oleh pelbagai tawaran kredit yang menarik daripada pihak bank.

Pemilik-pemilik kad kredit berkata, mereka akan terus dihujani dengan pelbagai tawaran kredit apabila pihak bank mengenalpasti mereka mengamalkan pembayaran hutang kad kredit secara konsisten pada setiap bulan.

Segelintirnya berkata, mereka ditawarkan pinjaman kewangan pra-kelulusan hanya menerusi panggilan telefon, manakala sebahagian lagi menerima cek tunai di antara RM10,000 ke RM15,000 secara pos.

“Saya sangat terkejut apabila menerima cek tunai sebanyak RM10,000 di atas nama sendiri. Surat yang disertakan itu menjelaskan saya boleh menunaikan cek tersebut pada bila-bila masa saja.

“Walaupun saya tertarik (dengan tawaran itu), saya koyakkan cek itu kerana tidak mahu menambahkan hutang,” kata seorang pemilik kad kredit yang hanya mahu dikenali sebagai John.

Katanya, dia kini dibebani hutang sebanyak RM15,000 dan sedang melakukan pembayaran semula pada setiap bulan.

Seorang lagi pemilik kad kredit yang berhutang sebanyak RM12,000 berkata, dia sering menerima pelbagai tawaran wang tunai daripada pihak bank “walaupun saya cuba untuk melangsaikannya.”

“Objektif saya adalah untuk melangsaikan hutang sedia ada dan berhenti menggunakan kad kredit selepas ini.

“Namun, apa yang bank cuba lakukan adalah menghalang saya mencapai obejektif itu,” dakwanya.

Ketua pegawai eksekutif Fomca Datuk Paul Selvaraj berkata, strategi agresif pihak bank dan syarikat kad kredit telah menyumbang kepada masalah hutang yang berleluasa di kalangan pengguna.

“Ramai di kalangan pengguna yang masih muda sudah tergoda untuk memiliki pelbagai tawaran kad kredit yang menarik. Ia perlu dikawal,” katanya kepada The Star.

Beliau berkata, pengguna perlu bertanggungjawab terhadap pembayaran kad kredit tanpa mengira pelbagai taktik yang digunakan oleh pihak bank.

Selvaraj juga berkata, bank pelu menyediakan perjanjian yang mudah difahami oleh pengguna.

“Pengguna perlu peka dengan perjanjian yang bakal mereka tandatangani, terutamanya berkenaan terma dan syarat pembayaran lewat dan kadar faedah yang dikenakan.

“Kami telah menemui Bank Negara untuk menghasilkan format perjanjian kredit yang standard dengan menggunakan bahasa Inggeris yang biasa dan mudah difahami. Ini membolehkan pengguna untuk memilih tawaran kad kredit yang terbaik dan bersesuaian,” katanya.

Seorang pelatih pusat panggilan Faizol Ahmad, 33, berkata, dia bekerja dengan sebuah syarikat yang memerlukannya untuk kerap berjalan ke sana dan sini.

“Saya terpikat untuk menerima lebih banyak hutang kad kredit kerana tawaran yang diberikan terlalu menarik untuk dilepaskan,” katanya yang mengakui kini berdepan krisis kewangan.

Pengarah eksekutif Persatuan Bank-bank Malaysia Chuah Mei Lin bagaimanapun mempertahankan pihak bank dengan berkata, pihak bank tiada sebarang perancangan atau taktik tertentu untuk memperdaya dan memikat pengguna untuk menambahkan hutang.

“Kami menyangkal sekeras-kerasnya bahawa bank sengaja melakukan perancangan tertentu untuk memperdaya pengguna. Dakwaan sebegini mencalar imej institusi perbankan,” katanya.

Beliau menambah, Bank Negara telah menetapkan undang-undang dan peraturan yang tegas untuk dipatuhi oleh bank.

“Lesen kami boleh dibatalkan jika kami tidak akur pada peraturan tersebut,” katanya.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan