Ikhlas Gesa Kerajaan Tangani Rakyat Asing Kuasai Premis Perniagaan

Diterbitkan: Ahad, 25 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini digesa menubuhkan satu badan khas bagi membanteras kebanjiran rakyat asing yang menguasai premis perniagaan di sekitar ibu negara.

Presiden Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah berkata langkah itu harus dilaksanakan supaya peniaga tempatan tidak dianak tirikan di tempat sendiri.

Beliau berkata dengan adanya badan khas ini, semua aduan dan laporan dapat dikumpulkan dan jalan penyelesaian dapat dicapai bagi membendung masalah itu daripada terus berleluasa.

"Sekarang kita tengok kebanyakan premis di bandar-bandar utama, terutamanya di Kuala Lumpur, dikuasai oleh warga asing terutama dari Indonesia dan Bangladesh," katanya pada sidang media di sini, Ahad.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan perlu memgambil tindakan terhadap perkara itu kerana ia menjejaskan peniaga tempatan, terutama peniaga Melayu.

"Pihak kami menerima banyak aduan daripada peniaga kecil, terutama peniaga Melayu mengenai perkara ini kerana mendapati hak mereka untuk berniaga seolah-olah dinafikan, contohnya pada bulan Ramadan lepas, kebanyakan bazar Ramadan sekitar Kuala Lumpur diusahakan warga asing ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan