Felcra Bayar Dividen RM85 Juta Di Pahang

Diterbitkan: Sabtu, 24 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Felcra Berhad (Felcra) memperuntukkan RM85 juta bagi membayar dividen kepada hampir 18,000 pesertanya di Pahang tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Datuk Juzilman Basir, jumlah berkenaan adalah bertambah berbanding tahun lepas iaitu sebanyak RM75 juta.

"Peningkatan dividen itu adalah oleh kerana harga komoditi sawit dan getah di pasaran global meningkat dan peningkatan harga di pasaran global secara tidak langsung memberi pendapatan yang memberangsang kepada Felcra dan pesertanya," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri Felcra peringkat negeri Pahang di sini.

Beliau berkata Felcra membuat empat kali bayaran dividen iaitu tiga kali telah dibayar sebelum ini termasuk ketika menyambut Aidilfitri baru-baru ini, manakala bayaran kali keempat akan dibuat pada penggal pembukaan sekolah awal tahun depan.

"Peneroka mendapat dividen antara RM3,500 hingga melebihi RM6,000 bergantung kepada jumlah keluasan tanah serta pengeluaran hasil ladang mereka," katanya.

Menurut Juzilman, jika harga sawit dan getah terus kekal atau naik pada paras harga sekarang yang melebihi RM650 satu metrik tan bagi sawit dan RM7.50 sekilogram atau lebih bagi getah, peserta dijangka beroleh pendapatan atau dividen yang lebih tinggi pada tahun depan.

Katanya pergolakan, peperangan serta bencana alam yang berlaku di sesetengah negara menjadikan harga komoditi tersebut dijangka terus meningkat di pasaran global. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan