PBT Seluruh Negara Terima Peruntukan Tambahan RM44.4 Juta

Diterbitkan: Jumaat, 23 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sejumlah RM44.4 juta peruntukan tambahan disalurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara pada tahun ini.

Menterinya Datuk Wira Chor Chee Heung berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM29.4 juta adalah peruntukan untuk PBT di Semenanjung dan bakinya untuk Sabah dan Sarawak.

"Peruntukan itu bagi membolehkan PBT melaksanakan projek-projek pembangunan kecil seperti pembaikan dan naik taraf jalan, longkang, parit, tandas, dewan dan sebagainya.

"Nilai projek juga adalah tidak melebihi RM20,000 bagi setiap projek yang dilaksanakan dan berharap semua PBT dapat menggunakan peruntukan yang diberikan dengan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan peruntukan khas itu di sini Jumaat.

Beliau berkata sehingga 15 Sept tahun ini, sejumlah RM181,890,198.11 peruntukan telah diluluskan kepada 98 PBT seluruh negara.

Chor berkata peruntukan tambahan diberikan hampir setiap tahun bagi membantu PBT. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan