Laksana Lapan Tuntutan Sebelum PRU Ke-13:Bersih

Diterbitkan: Jumaat, 23 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil mahu kerajaan menunaikan lapan tuntutan mereka dalam usaha mewujudkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini sebelum mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Ahli Jawatankuasa Bersih, Maria Chin Abdullah menegaskan, pilihan raya tidak harus diadakan sebelum Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen yang dianggotai oleh ahli Parlimen kerajaan Barisan Nasional (BN), pembangkang dan bebas memulakan tugas melakukan penambahbaikan sistem pilihan raya sedia ada.

"Jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar ikhlas untuk melakukan transfomasi politik di negara ini, jadi beliau perlu menunaikan tuntutan kami sebelum mengadakan pilihan raya.

"Jika tidak, ia ibarat cakap-cakap kosong. Malah penubuhan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen juga tidak membawa apa-apa makna kepada pembaharuan pilihan raya di negara ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersih di sini, Jumaat.

Jelas Maria, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sudah bersedia untuk bekerjasama dengan Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen bagi memastikan hak dan kepentingan rakyat dipenuhi.

Malah beliau berkata, jawatankuasa itu perlu telus dalam pelaksanaan pembaharuan tersebut dan menerima maklum balas daripada rakyat.

Pada perhimpunan Bersih 2.0 Julai lalu, NGO tersebut mengemukakan lapan tuntutan meliputi desakan supaya membersihkan senarai pengundi, memperbaharui sistem undi pos, penggunaan dakwat kekal, tempoh berkempen minimum 21 hari, akses media yang adil dan telus, memperkukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor.

Sementara itu, Dr Subramaniam Pillay yang juga ahli jawatankuasa Bersih yakin ahli-ahli JTP mempunyai tempoh masa secukupnya untuk membincangkan secara khusus cadangan penambahbaikan sistem pilihan raya di Parlimen sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Tempoh enam bulan yang ditetapkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap ahli JTP itu lebih daripada sepatutnya jika mereka bertungkus-lumus melaksanakan pembaharuan ini," katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan nama lima Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan menganggotai jawatankuasa itu.

Mereka adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Pengerusi), Datuk Alexander Nanti Linggi (Kapit) bagi wakil Sarawak dan Iban, Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad (Kangar) yang mewakili Umno, Tan Sri Dr Fong Chan Onn (Alor Gajah) mewakili MCA manakala P. Kamalanathan (Hulu Selangor) mewakili MIC.

"Sekiranya kerajaan mampu melaksanakan sistem pilihan raya yang adil dan bersih, ia sudah tentunya memberi manfaat kepada semua pihak. Jika BN menang, kredibiliti mereka tidak akan dipertikaikan," ujarnya.

Terdahulu, Dr Subramaniam mengumumkan bahawa Bersih akan melancarkan kempen 'Tunaikan 8 Tuntutan, Barulah PRU -13' di Dewan Perhimpunan Cina KL Selangor di ibu negara pada 30 September ini.

Beliau berkata, kempen itu merupakan lanjutan kepada lapan tuntutan perhimpunan Bersih yang diadakan pada 9 Julai lalu.

"Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai lapan tuntutan untuk reformasi pilihan raya dan sebagai peringatan kepada kerajaan supaya menunaikan perkara ini sebelum PRU ke-13," jelasnya.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan