Warta Lokasi Batu Sempadan Kedah-P.Pinang Sebagai Kawasan Warisan

Diterbitkan: Khamis, 22 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PADANG SERAI: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan diminta mewarta dan memulihara kawasan sekitar sebuah batu sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang di Kampung Paya Sementol, Pinang Tunggal, Seberang Perai dekat sini sebagai tapak warisan negara.

Anggota Dewan Negara Senator Boon Som Inong berkata batu sempadan yang berusia lebih satu abad itu perlu dipulihara sebagai khazanah negara dan monumen bersejarah kerana ia mempunyai sejarah tersendiri.

Berdasarkan semakan sejarah, batu sempadan ini dipercayai dibina oleh Kerajaan British dan Siam sekitar tahun 1831 iaitu pada zaman penaklukan Syarikat Hindia Timur Inggeris di Malaya.

"Pembinaan batu sempadan ini juga bertujuan membahagikan kawasan antara negeri Kedah atau Saiburi yang ketika itu di bawah Siam dengan Pulau Pinang yang ditakluki British," kata Boon Soom kepada pemberita selepas melawat lokasi tersebut bersama Konsul Jeneral Diraja Thailand ke Pulau Pinang Voradet Viravakin di sini, Khamis.

Katanya selepas lebih seabad berlalu, batu sempadan dengan lebar 1.5 meter dan tinggi 2.4 meter itu dibiarkan tidak terurus dan ada sebahagian daripada batu itu musnah atau terjatuh ke dalam Sungai Muda akibat hakisan dan aktiviti mengambil pasir di sekitar tebing sungai.

Hadir sama ialah Setiausaha Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Kedah Datuk Mohd Hadzir Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Terat Batu Marzuki Abd Rahman.

Boon Som berkata selain itu, penemuan batu sempadan berkenaan merupakan salah satu bukti penting mengenai kewujudan masyarakat Siam di negara ini sejak beratus tahun lalu.

"Ini juga bermakna bahawa masyarakat Siam berada di kawasan ini sejak beberapa generasi dan mereka adalah bumiputera dan bukannya kaum pendatang atau imigran yang dibawa masuk British sebelum merdeka," katanya.

Sementara itu, Voradet berkata pihaknya bersedia menawarkan bantuan dari segi kepakaran dan khidmat nasihat kepada Kerajaan Malaysia untuk membantu memulihara monumen berkenaan untuk tatapan generasi akan datang.

Mohd Hadzir pula berkata berdasarkan makluman penduduk setempat, sebelum ini, terdapat lebih lima batu seumpamanya di kawasan terbabit.

Katanya faktor sejarah ada menyebut bahawa pembinaan batu sempadan tersebut juga menandakan kegembiraan British selain menakluk Pulau Pinang dari Kedah, mereka juga dapat menambah keluasan jajahan takluknya selepas perjanjian Sempadan British dan Siam.

Beliau berkata Sultan Kedah ketika itu Sultan Dhiauddin Mukkaram Shah terpaksa menyerahkan Seberang Perai yang kemudian dinamakan Province Wellesley iaitu nama Gabenor Inggeris.

"Pada mulanya Seberang Perai hanyalah jaluran tanah bertentangan dengan Pulau Pinang dari Sungai Muda hingga Kuala Sungai Kerian tetapi berikutan perjanjian Inggeris-Siam pada 1831, tanah yang menjadi milik British bertambah dan sempena perjanjian itu batu sempadan ini didirikan," katanya.

Mohd Hadzir berkata pengekalan batu tersebut amat signifikan dalam memberi peringatan kepada generasi masa kini tentang betapa pentingnya mempertahankan kedaulatan Malaysia bumi bertuah ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan