Suara Solidariti Tuntut MPN Disiasat

Diterbitkan: Khamis, 22 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suara Solidariti Anak Bangsa Malaysia menuntut agar Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Datuk Dr Zakri Hamid dan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio Budaya MPN iaitu Prof. Datuk Dr Zainal Kling disiasat dan didakwa di mahkamah berhubung kenyataan “Tanah Melayu tidak pernah dijajah” baru-baru ini.

Jurucakapnya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, kumpulan itu turut mendesak Kerajaan untuk menyatakan pendirian mereka terhadap kenyataan MPN itu demi keselamatan dan kestabilan negara.

“Kami menuntut agar Pengerusi MPN Dr Zakri Hamid dan Ketua Kluster MPN Dr Zainal Kling disiasat dan didakwa di mahkamah berhubung kenyataan yang mengelirukan rakyat itu.

“Kami juga mendesak Kerajaan untuk menyatakan pendirian mereka terhadap kenyataan MPN. Isu penjajahan dan kemerdekaan adalah isu nasional dan penting,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PAS, di sini, Khamis.

Dr Zainal dalam kenyataannya sebelum ini berkata, meskipun British mengetuai seluruh pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu, namun Tanah Melayu bukan tanah jajahan British.

Bagaimanapun tafsiran berkenaan mendapat kritikan dan pertikaian pelbagai pihak berhubung sejarah asal negara ini.

Katanya, Dr Zainal dan MPN boleh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang telah menimbulkan kegusaran, kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam yang boleh mendorong mana-mana pihak melakukan sesuatu kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang.

“Kami percaya kenyataan ini adalah tidak bertanggungjawab, bersikap semberono untuk mempertahankan kedudukan pihak-pihak tertentu yang jelas mengelirukan segenap lapisan masyarakat dan mengganggu-gugat kestabilan, kepercayaan rakyat dan keharmonian negara.

“Selama ini kita telah diajar dan difahamkan bahawa British adalah penjajah dan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 adalah kemerdekaan daripada belenggu penjajahan British,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa isu “Tanah Melayu Tidak Pernah Dijajah” merupakan isu keselamatan dan kepentingan negara kerana berupaya melorongkan masyarakat ke satu pemfitnahan nasional.

“Lebih malang, ia dilakukan oleh MPN, sebuah institusi akademik yang diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

“Kenyataan itu seolah-olah mencerminkan rakyat telah ditipu selama 54 tahun apabila menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun sebagai meraikan ulang tahun kemerdekaan negara daripada cengkaman penjajahan British,” katanya.

Menurut mereka lagi, kenyataan MPN itu juga seolah-olah mencerminkan Kerajaan khususnya menerusi Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi telah melakukan pengkhianatan, pembohongan dan salah didik kepada para pelajar sekolah selama ini.

“Menerusi subjek Sejarah, kita telah diajar negara kita mendapat kemerdekaan daripada penjajah British dan merupakan salah sebuah daripada negara-negara Komanwel,” katanya.

Aiman Athirah berkata, pendirian MPN dilihat sebagai satu penghinaan besar kepada Raja-raja Melayu yang digambarkan seolah-olah merestui British dan tidak berbuat apa-apa bagi menghalang kemasukan penjajah itu ke Tanah Melayu.

“Hakikatnya, raja-raja Melayu telah ditekan oleh British dan terdapat kebangkitan rakyat dari semasa ke semasa untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan