Program Pemuliharaan Terumbu Karang Dapat Pengiktirafan Malaysia Book Of Records

Diterbitkan: Khamis, 22 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Program AkuJanji iaitu program memulihara pertumbuhan terumbu karang dan tumbuhan lain di Pulau Bidong, Terengganu hari ini mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata program anjuran Malaysian Coral Reef Conservation Society (Coral Malaysia) itu mendapat kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kerajaan Negeri Terengganu dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Program yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) itu adalah sempena kempen "1Malaysia Green, 1Malaysia Clean" di bawah program 'Hari Pemulihan Alam Sedunia 2011', kata Abdul Rahin kepada pemberita selepas menandatangani Akujanji pertumbuhan terumbu karang dan tumbuhan lain di dasar laut di Pulau Bidong dekat sini.

Turut hadir ialah wakil Malaysia Book of Records Zulhairi Md Zin.

Akujanji itu ditandatangani oleh empat orang iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said, Naib Canselor UMT, Datuk Dr Aziz Deraman, Duta Coral Malaysia, Fauziah Latiff dan Presiden Coral Malaysia, Jamhariah Jaafar.

Abdul Rahin berkata Akujanji itu dibuat bagi memastikan tumbuhan di darat dan di dalam air Pulau Bidong dijaga dengan baik.

"Peruntukan UMT terhadap program ini merupakan satu usaha murni untuk menjaga kawasan ini dengan baik dan memastikan pertumbuhan terumbu karang dan tumbuhan lain di dasar laut," katanya.

Sementara itu, Aziz berkata UMT bersedia untuk memberi kerjasama dalam menjaga pulau itu kerana ia boleh dijadikan lokasi untuk melatih pelajarnya membuat penyelidikan laut.

"Pulau Bidong ini kerapkali digunakan oleh UMT untuk membuat penyelidikan seperti pemuliharaan terumbu karang, haiwan laut, pasang surut ombak, tenaga solar dan tenaga angin," katanya.

Beliau berkata kewujudan kapal RV Discovery milik UMT tidak lama lagi juga akan memudahkan operasi penyelidikan dilakukan dalam kapal atau di pulau itu, katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan