Enam Mahkamah Anak Negeri Akan Diwujudkan Di Sabah

Diterbitkan: Khamis, 22 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan bersetuju untuk mewujudkan enam Mahkamah Anak Negeri dan membina Institusi Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok berkata kerajaan pusat menyediakan peruntukan RM60 juta untuk menjayakan projek tersebut.

Mahkamah Anak Negeri itu akan diwujudkan di daerah Penampang, Keningau, Sandakan, Ranau, Kudat dan Lahad Datu manakala pembinaan Institusi Hal Ehwal Anak Negeri Sabah pula dijangka dimulakan awal tahun depan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Tanah dan Undang-Undang Anak Negeri Sabah anjuran Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) di sini, Khamis.

Dompok, yang juga presiden UPKO, berkata ini merupakan antara ketetapan yang diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bumiputera Sabah dan Sarawak yang dipergerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya dana untuk projek itu merupakan sebahagian daripada peruntukan awal RM100 juta bagi pelbagai program khas Bumiputera Sabah dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Dompok berkata baki peruntukan RM40 juta akan digunakan untuk program lain termasuk projek kraftangan dan pertanian yang dicadangkan oleh kerajaan Sabah bagi kepentingan Bumiputera Sabah.

Beliau juga berkata UPKO memandang serius masalah permohohan tanah yang dihadapi oleh masyarakat anak negeri Sabah dan mahu ia diselesaikan segera bagi memastikan rakyat terus yakin dengan kerajaan sedia ada.

Dompok berkata banyak permohohan yang tertangguh dan sebilangan besar pemohon terdii mereka yang sudah mendapat kepastian daripada Jawatankuasa Penggunaan Tanah daerah.

"Mereka sudah memohon tanah (tertentu) begitu lama dan hanya menunggu tanah mereka diukur, dan kalau inilah masalahnya, maka terdapat keperluan untuk dapatkan khidmat juruukur swasta," katanya.

Dompok berkata beliau akan berbincang dengan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dan Pengarah Perhutanan Sabah bagi mencari jalan penyelesaian. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan