Sidang Meja Bulat "Pertahankan Poket Anda" Capai 6 Resolusi

Diterbitkan: Rabu, 21 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pendidikan tentang belanjawan bijak dan seruan agar semua rakyat Malaysia bertekad untuk hidup di dalam lingkungan kemampuan mereka adalah merupakan di antara enam resolusi yang dicapai menerusi perbincangan meja bulat mengenai kos kehidupan anjuran akhbar The Star pada malam Selasa.

Perbincangan meja bulat itu adalah di bawah inisiatif “Pertahankan Poket Anda” iaitu satu kempen yang berhasrat untuk mengenegahkan isu-isu penting yang dihadapi oleh rakyat Malaysia berkaitan dengan kos kehidupan yang semakin tinggi.

Resolusi yang dicapai hasil daripada perbincangan meja bulat itu akan dikemukakan kepada kerajaan sebelum pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri di Parlimen yang dijadualkan pada 7 Oktober depan.

Resolusi-resolusi itu adalah seperti berikut;

· Untuk menyokong kerajaan dan sektor swasta dalam mencari penyelesaian ke arah mengurangkan kos makanan, termasuklah menjadikan Malaysia pengeluar makanan yang berdaya maju untuk rantau ini dan juga untuk memastikan persaingan yang sihat dan adil dalam rantaian pengeluaran produk makanan utama;

· Menyokong langkah-langkah holistik untuk mengurangkan kos pengangkutan khususnya ke arah mempertingkatkan keupayaan dan kecekapan pengangkutan awam agar pengguna tidak lagi terlalu bergantung kepada kenderaan persendirian;

· Untuk mempertahankan pendapatan isi rumah dengan mengalakkan rakyat menjadi pengguna yang bijak dan berdisiplin melalui kaedah-kaedah meningkatkan kesedaran untuk berbelanja dengan berhemat dan juga untuk menyedarkan rakyat akan kepentingan perancangan kewangan agar dengan itu kita akan dapat menguruskan kewangan peribadi dengan baik dan sekaligus mengelakkan diri daripada terperangkap dalam bebanan hutang yang tinggi;

· Menyeru Kerajaan agar memberi perhatian yang lebih besar dalam pendidikan belanjawan dan kepenggunaan dengan harapan ini akan dapat meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan keupayaan berbelanja secara berhemat sekaligus berkemampuan melawan peningkatan kos kehidupan;

· Menyeru Kerajaan agar berdaya usaha di dalam meningkatkan pendapatan rakyat secara menyeluruh bersesuaian dengan inflasi dan juga status negara maju;

· Menyeru agar seluruh rakyat Malaysia melihat kembali kepada nilai-nilai sebenar yang kita perlukan dalam kehidupan dan bertekad untuk hidup di dalam lingkungan kemampuan kita.

Ahli-ahli panel yang mengambil bahagian dalam perbincangan itu pula ialah Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Datuk Paul Selvaraj, Setiausaha Agung Persatuan Rangkaian Peruncitan Malaysia (MRCA), Valerie Choo, Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks dan Pusat Membeli-Belah Malaysia, H.C Chan, Pengarah Komunikasi Pemasaran Carrefour (Singapura dan Malaysia) Low Ngai Yuen, Pengarah NKRA/NKEA Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan JPM (Pemandu), D. Ravindran, Pengurus Kanan Pemandu, Phillip See dan Pengarang Eksekutif The Star, Datuk Wong Sai Wan.

Manakala peguam dan aktivis hak asasi manusia, Jonson Chong bertindak sebagai moderator.

Lebih 50 orang yang mewakili persatuan-persatuan penduduk, pertubuhan pengguna dan orang awam menghadiri perbincangan itu.

Dalam perbincangan tersebut, antara subjek yang mendapat perhatian ramai ialah mengenai isu budaya berbelanja rakyat Malaysia.

“Secara purata, lebih kurang 41 kes bankrapsi atau muflis berlaku di Malaysia setiap hari dan yang sangat-sangat membimbangkan ialah kebanyakan mereka ini adalah dalam lingkungan umur 40 tahun ke bawah. Ini semua ada kena mengena dengan budaya atau cara hidup kita yang cuba untuk berbelanja di luar kemampuan diri.

“Misalnya, jika anda hanya mampu membayar ansuran untuk Perodua, tetapi sebaliknya memaksa diri untuk membeli Honda City kerana terpengaruh dengan jenama,” kata Selvaraj.

Choo pula menambah, perancangan kewangan sebenarnya adalah lebih daripada keupayaan untuk mengurus kewangan anda.

“Ia juga berkaitan tentang nilai-nilai tertentu yang perlu disemai sejak dari usia muda lagi,” ujarnya.

Dalam tempoh beberapa bulan yang akan datang, The Star akan menganjurkan beberapa siri program dan juga menyiarkan artikel yang bakal mengenegahkan isu-isu berkaitan kos kehidupan yang bakal meninggalkan kesan ke atas kehidupan seharian kita.

Untuk pembaca dan orang ramai mengambil bahagian dalam menyokong kempen “Pertahankan Poket Anda” ini, bolehlah melayari alamat url berikut;

http://thestar.com.my/protectourpockets/

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan