Mustapa Ketuai Misi Galakan Pelaburan Ke Eropah

Diterbitkan: Rabu, 21 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengetuai misi galakan perdagangan dan pelaburan ke Eropah mulai 25 Sept hingga 1 Okt ini.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, kementerian itu berkata misi berkenaan yang meliputi tiga bandar raya iaitu Milan, Stockholm dan Oslo, bertujuan untuk mempromosikan peluang-peluang perniagaan dan pelaburan di Malaysia serta memperkukuh rangkaian perniagaan dan mewujudkan inisiatif usaha sama.

Menurutnya, semasa misi berkenaan, Mustapa akan bertemu rakan sejawatnya di ketiga-tiga lokasi serta mengadakan perbincangan meja bulat dan pertemuan individu dengan beberapa ketua dan pemimpin industri.

"Semasa misi berkenaan, matlamat utama Malaysia ialah untuk menarik pelabur asing dari pelbagai sektor khususnya industri teknologi tinggi dan berintensifkan pengetahuan termasuk ICT, tenaga boleh diperbaharu, teknologi industri, minyak dan gas, pemprosesan makanan, penjagaan kesihatan, industri kimia, telekomunikasi serta jentera an kelengkapan," kata kementerian.

Mustapa juga dijadualkan mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Ekonomi (JEC) Malaysia-Itali di Milan, bersama rakan sejawatnya Menteri Pembangunan Ekonomi Itali, Paolo Romani.

Mesyuarat JEC itu akan membincangkan isu-isu dua hala mengenai perdagangan dan pelaburan serta meneroka peluang kerjasama ekonomi dalam pelbagai sektor, katanya.

Itali, Sweden dan Norway merupakan rakan dagang penting dan sumber pelaburan asing Malaysia, di mana tahun lepas, ketiga-tiga pasaran menyumbang 9.9 peratus jumlah perdagangan negara dengan Eropah Barat dan projek pelaburan berjumlah 613.2 juta euro (RM2.6 bilion).

Delegasi misi berkenaan akan terdiri daripada wakil-wakil kementerian sendiri dan sektor awam, seperti pihak berkuasa koridor pembangunan, Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia serta sektor swasta. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan