Tempoh Pendaftaran SPAD Untuk Kenderaan Perdagangan Tidak Dilanjutkan

Diterbitkan: Selasa, 20 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tetap tidak akan melanjutkan tempoh pendaftaran semula kenderaan perdagangan dan kenderaan pelancongan yang berakhir 30 Sept ini.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata setakat ini hanya 50 peratus daripada 400 ribu kenderaan dalam kategori itu telah berdaftar dengan SPAD.

"Kalau ikut pengusaha setakat ini hanya 45,000 daripada 90,000 pengusaha sahaja yang mendaftar dengan SPAD. Masa yang kita bagipun begitu panjang bermula 1 April lepas. Memang cukup lama," katanya pada sidang media selepas majlis Pelancaran Transformasi ALM (Airport Limo (M) Sdn Bhd) di sini Selasa.

Syed Hamid berkata pengusaha terbabit tidak seharusnya memandang remeh kerana usaha pendaftaran itu bertujuan menyeragamkan industri pengangkutan negara sekaligus menjamin kebajikan pengusaha kenderaan itu.

Beliau berkata pelbagai cara telah dijalankan termasuk menggunakan media cetak dan elektronik untuk menerangkan kepentingan mendaftar perniagaan mereka dengan SPAD.

Syed Hamid berkata kegagalan pelesen mendaftar semula dalam tempoh yang diberi akan menyebabkan lesen kenderaan itu luput secara automatik dan akan membebankan pengusaha berkenaan.

Beliau berkata pengusaha terbabit juga boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM50,000 atau penjara selama tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Pendaftaran semula itu adalah seperti yang diperuntukkan dalam Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2010, katanya.

Sementara itu, Syed Hamid menyambut baik usaha Airport Limo (M) Sdn Bhd di bawah penjenamaan baru ALM yang ingin memperkenalkan 100 teksi baru Proton Persona dilengkapi kemudahan internet melalui penggunaan peranti Ipad2 untuk kemudahan penumpang malayari internet.

"Saya percaya inovasi dan penambahbaik perkhidmatan ini tentu akan menaikkan lagi mutu perkhidmatan teksi negara kepada taraf yang lebih tinggi," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan