Perbincangan Meja Bulat Mengenai Isu Kos Kehidupan Malam Ini

Diterbitkan: Selasa, 20 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Lapan ahli panel akan mengambil bahagian dalam satu perbincangan meja bulat mengenai isu-isu berkaitan peningkatan kos kehidupan dalam inisiatif yang dinamakan “Pertahankan Poket Anda” anjuran akhbar The Star malam ini. Perbincangan tersebut dijadualkan bermula pada lebih kurang jam 7.30 malam di Menara Star, Seksyen 16 di sini.

Antara mereka yang telah mengesahkan penyertaan dalam perbincangan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Datuk Paul Selvaraj dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Ma’amor Osman.

Akan turut hadir ialah wakil dari Persatuan Pengurusan Kompleks dan Pusat Membeli-Belah Malaysia.

Inisiatif yang dinamakan “Pertahankan Poket Anda” ini adalah sebahagian daripada usaha The Star untuk mengenegahkan isu-isu berkaitan kenaikan kos kehidupan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada masa ini seperti harga barang dan makanan, pengangkutan, pendidikan tentang selok belok menguruskan belanjawan serta bijak berbelanja.

Dalam perbincangan malam ini, lebih 40 wakil daripada persatuan-persatuan penduduk juga dijangka hadir dan mengambil bahagian.

Hasil daripada perbincangan ini nanti akan dikemukakan dalam bentuk resolusi tentang bagaimana kerajaan dapat menangani isu kos kehidupan ini dengan lebih mendalam dan pada masa yang sama mempertahankan poket para pengguna.

Kempen ini akan turut dijalankan menerusi The Star Online dan mStar Online dari semasa ke semasa bagi membolehkan lebih ramai rakyat dan pengguna menyatakan sokongan mereka ke atas resolusi yang bakal dihasilkan nanti sebelum ia dibentangkan kepada Perdana Menteri.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan