Muhyiddin Yakin Bajet 2012 Beri Perhatian Isu-isu Rakyat

Diterbitkan: Selasa, 20 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DUNGUN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Bajet 2012 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak nanti akan memberi perhatian kepada isu-isu yang dihadapi rakyat termasuk mengurangkan kos hidup ketika ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berharap semua pihak bersabar dan menunggu pembentangan Perdana Menteri berkenaan bajet itu.

"Wallahualam... apa yang terkandung dalam bajet itu, kita berharap ianya akan menyentuh perkara yang dapat mengurangkan kos bebanan rakyat," katanya ketika majlis dialog bersama kepimpinan masyarakat setempat dan pegawai kanan kerajaan, swasta, industri dan badan-badan bukan kerajaan kawasan Dungun, di sini, Selasa.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengambilkira keadaan ekonomi negara, soal kos hidup rakyat dan bentuk-bentuk bantuan yang bergantung kepada keupayaan kewangan kerajaan dalam pembentangan bajet itu kelak.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Muhyiddin berkata sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan pastinya akan mengambilkira semua aspek yang akan memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Muhyiddin berkata cadangan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini adalah selaras dengan kematangan rakyat negara ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata sekalipun akta berkenaan dimansuhkan, semua pihak termasuk mereka yang extremis dan cuba mengganggu gugat keamanan dan keselamatan negara tidak akan terlepas dengan peruntukan undang-undang negara.

"Pemansuhan akta itu diharap memberi ruang kepada rakyat untuk menghayati demokrasi yang lebih tulen, namun rakyat perlulah matang dan bertanggungjawab terhadap apa jua tindakan dan perlakuan mereka," katanya.

Beliau berkata, pemansuhan akta ISA itu tidak bermakna rakyat boleh melakukan semua perkara sesuka hati.

"Kita perkenalkan undang-undang lain, dan dengan undang-undang sedia ada, ianya (undang-undang yang akan dibuat dan sedia ada) tidak boleh diatasi mana-mana pihak sekiranya mereka terbabit dalam kegiatan yang mengganggu gugat keselamatan negara.

"Menerusi ISA, individu ditahan tanpa dakwaan, dan tak akan dilakukan lagi (selepas pemansuhan ISA), tapi kebebasan itu tidak bermakna semua pihak boleh bertindak sewenang-wenangnya," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan