Kadar Pengangguran Siswazah Malaysia Rendah: Khaled

Diterbitkan: Selasa, 20 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)
Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

PUTRAJAYA: Kadar pengangguran di kalangan siswazah Malaysia adalah kecil iaitu sekitar tiga hingga empat peratus dari 2001 hingga tahun lalu berbanding Australia, Jepun dan Indonesia.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun lalu, kira-kira 50.4 peratus atau 87,908 siswazah berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

"Berlaku peningkatan ketara dalam bilangan siswazah yang mendapat pekerjaan pada tahun lalu berbanding hanya 49.1 peratus dalam jangka masa enam bulan pada 2009," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sijil kepada peserta program MyCareer MyFuture di sini, Selasa.

Mohamed Khaled berkata, daripada 240,000 pelajar yang menamatkan pengajian setiap tahun, 24.6 peratus atau 42,995 siswazah gagal mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan.

Menurut beliau, keadaan itu berpunca daripada sikap memilih pekerjaan, bertukar-tukar pekerjaan dan ada di kalangan mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara.

"Bilangan itu menyumbang kepada kadar pengangguran kecil di negara ini. Sewajarnya, boleh dikatakan kebanyakan siswazah mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian," katanya.

Walaupun kadar pengangguran di negara ini masih rendah, Khaled berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan berusaha mengadakan pelbagai program untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan bagi memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Selain MyCareer MyFuture, kita turut mengadakan beberapa program seperti Bridging the Gap, Apprentice, Degree++ dan Finishing School and Internship yang ditawarkan kepada siswazah tidak mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka," ujarnya.

Mohamed Khaled berkata, KPT memperuntukkan kira-kira RM6 juta untuk kira-kira 1,000 siswazah yang terlibat dengan program seumpama itu bagi memastikan mereka mendapat pekerjaan dan meningkatkan prospek karier pada masa hadapan.

"Kira-kira 2,676 siswazah dilatih sejak program itu diperkenalkan pada 2009 dan 80 peratus daripada mereka berjaya memperoleh pekerjaan," jelasnya.

Sementara itu, seramai 100 siswazah berjaya menamatkan program MyCareer MyFuture yang diadakan selama enam minggu anjuran KPT bersama My-Partners dan Akademi Scicom pada Selasa.

Program tersebut dibuka kepada siswazah yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.00 dan ke bawah.

Salah seorang peserta, Liyana Idris, 23, dinobatkan selaku penyampai terbaik bagi kumpulan Asia E University (AeU) Kuala Lumpur sepanjang program itu berlangsung.

"Saya amat bangga dan tidak menduga akan menerima anugerah seperti ini. Jika dahulu saya tidak begitu yakin untuk berucap di khalayak ramai, tapi selepas menyertai program ini saya semakin berani dalam melontarkan idea dan pendapat," kata bekas graduan Ijazah Industri Bioteknologi Universiti Industri Selangor itu.

Liyana berkata, program tersebut banyak membantunya memperbaiki kelemahan diri terutamanya apabila menyentuh soal keyakinan diri dan kebolehan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

"Kini perasaan gementar saya sudah tiada. Menerusi kemahiran yang diperoleh sepanjang program itu, saya berharap peluang akan diberikan kepada saya untuk bekerja dengan mana-mana syarikat terkemuka di negara ini," katanya.

Bagi Shanmugam Ganasegaran, 24, yang dipilih sebagai peserta paling dikagumi dalam program MyCareer MyFuture, dia mendedikasikan kejayaan itu kepada mendiang bapanya yang meninggal dunia minggu lalu.

"Jika dulu bapa yang akan bertanggungjawab menguruskan hal keluarga, kini saya akan mengambil alih tugas itu. Saya ingin mengubah nasib keluarga selepas ini," katanya yang semakin yakin bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Bekas graduan Ijazah Pengurusan Teknologi Universiti Utara Malaysia (UUM) itu menyifatkan program yang dia sertai sebagai batu loncatan kepada mana-mana siswazah menganggur untuk memperkukuhkan kemahiran diri sebelum mengorak langkah lebih jauh ke alam pekerjaan.

"Saya akan mengaplikasikan apa yang telah diajar oleh tutor sepanjang program itu. Saya dapat memperbaiki cara berkomunikasi, gerak-geri badan dan kaedah berfikir dengan pantas dalam menyelesaikan sesuatu masalah," ujarnya.

Selain Liyana dan Shanmugam, Muhammad Syahriza Shamsudin turut menerima anugerah paling menyerlah bagi kumpulan AeU.

Tiga peserta lain mewakili kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Amira Sariyanti Azmi dinobatkan selaku penyampai terbaik, Noor Allia Jamilah Ahmad (peserta paling dikagumi) dan Maihani Mat A'isa (peserta paling menyerlah).

iklan

iklan

Iklan