Dasar Agro Makanan Negara Dibentang 28 September

Diterbitkan: Selasa, 20 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dasar Agro Makanan Negara (2011-2020) akan dibentang kepada Kabinet pada 28 September ini bagi mendapat kelulusan Jemaah Menteri, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata dasar itu memberi penumpuan kepada pembangunan komoditi makanan bagi menjamin bekalan makanan negara serta meningkatkan pendapatan eksport pertanian menerusi produk berkualiti tinggi.

"Ia juga selaras dengan Program Tranformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi yang menjadi landasan utama pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan 2020 dengan menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran My Agro, di sini, Selasa.

Noh berkata, dasar itu akan dijadikan panduan bukan sahaja oleh kerajaan, tetapi juga swasta dalam menjadikan industri agro makanan sebagai industri yang berdaya saing dan mampan.

"Pada hari ini sektor pertanian tidak boleh bergantung kepada kerajaan sahaja tetapi perlu melibatkan pihak swasta kerana kalau ada pihak swasta ia dapat membantu sektor pertanian meningkat dengan lebih cepat," katanya.

Mengulas mengenai Majlis Benih Negara, beliau berkata majlis itu telah diluluskan dan bertujuan meningkatkan produktiviti pengeluaran benih seperti sayur-sayuran dan ternakan.

Kewujudan majlis itu diharap dapat mengurangkan kebergantungan negara pada benih yang diimport, katanya.

Pameran My Agro 2011 yang julung kali diadakan merupakan pameran perdagangan pertanian dan industri berasaskan tani. Pameran empat hari itu menyediakan platform kepada usahawan pertanian, pelabur dan peminat industri tersebut bertemu, mempamer dan mempromosikan perniagaan masing-masing. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan