Tukar Jalur Gemilang Bukan Pendirian Pembangkang - Anwar - Berita Semasa | mStar

Tukar Jalur Gemilang Bukan Pendirian Pembangkang - Anwar

Diterbitkan: Isnin, 19 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tidak pernah menerima sebarang cadangan untuk menukar Jalur Gemilang sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya akan datang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, cadangan berkenaan lebih bersifat peribadi dan bukannya pendirian rasmi pakatan pembangkang.

"Tidak pernah dikemuka kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, itu pandangan peribadi," katanya yang dipetik menerusi laman twitter pada Isnin.

Selain itu Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Media pada Jumaat melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah dari DAP, M Manoharan mencadangkan agar Jalur Gemilang ditukar sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Menerusi laman Facebook peribadinya, Manoharan memaklumkan bahawa beliau telah mengedarkan bendera DAP di kawasannya sewaktu sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tetapi enggan mengibarkan bendera Malaysia kerana berpendapat, bendera negara ini kelihatan seperti Barisan Nasional.

Kenyataan beliau itu mengundang kecaman banyak pihak termasuk PAS.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan