Pakatan Rakyat Belum Ada Keputusan Agihan Kerusi Di Kedah - Anwar

Diterbitkan: Isnin, 19 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pimpinan pusat pakatan pembangkang akan bermesyuarat Rabu ini bagi membincangkan isu pengagihan kerusi antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP Kedah selepas kedua-dua parti itu di peringkat negeri gagal mencapai sebarang keputusan.

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga kini perbincangan antara kedua-dua pihak di peringkat negeri tidak mencapai sebarang keputusan, justeru perkara itu akan diputuskan oleh pemimpin di peringkat pusat.

"Masing-masing sudah kemuka pandangan dan adakan perbincangan mengenai perkara itu, kalau tak selesai peringkat negeri kita akan bawa ke peringkat jawatan kuasa pusat," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PKR Kedah, di Suka Menanti di sini, Ahad.

Anwar berkata perbincangan mengenainya akan diadakan di peringkat pusat pada mesyuarat parti itu Rabu ini.

Beliau berkata, keputusan muktamad mengenai pengagihan kerusi itu hanya akan diumumkan apabila tarikh pilihan raya ditetapkan nanti.

Pada 15 Ogos lalu, dilaporkan bahawa pengagihan kerusi antara PKR dan DAP di negeri ini bagi pilihan raya akan datang, menemui jalan buntu selepas dua pusingan mesyuarat.

Keputusan tidak dapat dicapai apabila DAP yang hanya bertanding dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2008 iaitu Kota Darulaman dan Derga, meminta empat lagi kerusi DUN daripada PKR, selain bercadang untuk bertanding dua kerusi Parlimen.

Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik sebelum ini dilaporkan berkata, parti itu bercadang untuk meletakkan calon di DUN Gurun, Bakar Arang, Lunas dan Bakar Bata, manakala dua kerusi Parlimen iaitu Alor Setar dan Padang Serai.

Pada pilihan raya umum lepas, DAP tidak meletakkan calon untuk bertanding di peringkat Parlimen. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan