Hasrat Tukar Bendera Hanya Provokasi - Hishammuddin

Diterbitkan: Isnin, 19 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hasrat pakatan pembangkang untuk menukar Jalur Gemilang dengan bendera lain sebagai bendera Malaysia merupakan satu provokasi terhadap pencapaian kerajaan dalam menangani isu berkaitan undang-undang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan tidak patriotik itu juga mungkin dilakukan atas pertimbangan bahawa pembangkang merasakan pilihan raya umum semakin dekat.

"Ini saya lihat sebagai provokasi dan dalam hal ini mungkin pertimbangan pembangkang berkisar kepada mereka melihat negara semakin dekat dengan pilihan raya umum.

"... dan bila kita dapat mematah hujah-hujah yang telah mereka lemparkan terhadap kerajaan sama ada berhubung kait dengan undang-undang keselamatan, usaha untuk mempercepatkan proses permohonan kenegaraan, permit masuk dan sijil kelahiran, mereka terpaksa keluarkan kenyataan ini untuk meraih simpati," katanya ketika mengulas mengenai tindakan pembangkang yang semakin berani membuat kecaman yang menyentuh isu-isu sejarah dan kenegaraan.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Antarabangsa Ketiga Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan di sebuah hotel terkemuka di sini, Isnin.

Jumaat lepas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kota Alam Shah daripada DAP, M. Manoharan menegaskan pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan bersifat kurang ajar itu disiarkan Adun terbabit menerusi laman sosial Facebook miliknya, dan didedahkan oleh portal berita terbaru, www.mole.my.

Hishammuddin berkata keberanian pembangkang tersebut difahami kerajaan dan atas situasi serta landskap politik masa kini kerajaan juga dengan beraninya akan menggubal akta-akta baru yang akan digunakan supaya adanya had dan batasan dalam keinginan untuk berpolitik dan berkuasa.

"Apabila isu patriotisme, perpaduan kaum dan hormat antara agama menjadi gadaian untuk mengejar kuasa dan meraih simpati digunakan, kerajaan terpaksa bertegas di mana setiap pembaharuan terutamanya transformasi politik yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini akan dipenuhi sebaik mungkin," katanya.

Pada Khamis, Perdana Menteri dalam perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011 mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 serta mengkaji semula Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967 yang mengambil kira Perkara 10 Perlembagaan.

Berhubung tindakan memansuhkan ISA yang mendapat reaksi pelbagai dari kalangan akar umbi Umno dan apa bentuk penerangan yang boleh dibuat Hishammuddin yang juga Naib Presiden parti berkata, kerajaan sedar mengenai perkara itu dan usaha menerangkannya telah bermula di Negeri Sembilan dua hari lalu dan diikuti sesi penerangan peringkat negeri Melaka yang dijadual dalam masa terdekat.

Beliau berkata, apa yang penting ialah anggota parti perlu melihat ke depan berkaitan pengumuman tersebut kerana matlamat di sebalik usaha yang diumumkan sejak dua tahun lepas itu jelas iaitu kerajaan ingin melihat ISA dalam konteks yang lebih holistik.

"Kita telah memberi penjelasan, contohnya di Negeri Sembilan saya telah beri penjelasan panjang lebar dan barulah orang faham bahawa kerajaan tidak mansuhkannnya begitu sahaja tetapi akan digantikan dengan akta yang lebih baik," katanya.

Katanya, masyarakat juga perlu faham sekiranya dibuat melalui pindaan di Parlimen prosesnya akan mengambil masa yang panjang berbanding menggantikannya dengan akta yang baru.

Hishammuddin berkata, kementerian itu juga sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung kajian semula ke atas Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 sepertimana yang diumumkan, baru-baru ini.

Ditanya signifikan di sebalik pengumuman seperti tidak perlu membuat pembaharuan permit penerbitan secara tahunan sedangkan Kementerian Dalam Negeri masih memiliki kuasa mutlak untuk menarik balik permit berkenaan pada bila-bila masa, beliau berkata, ia masih terlalu awal untuk mengumumkan butirannya, apatah lagi kajian semula itu melibatkan tiga kementerian.

"Selain orang ramai, pertimbangan saya adalah keselamatan. Jika ada apa-apa yang menjejaskan keselamatan, kita perlu tangani dengan hati nurani yang jelas dan pada akhir nanti, orang ramai mesti membuat keputusan," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan