Hasrat Pembangkang Tukar Bendera Bukti Tak Hormat Warisan Negara

Diterbitkan: Ahad, 18 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hasrat pakatan pembangkang untuk menukar Jalur Gemilang dengan bendera lain sebagai bendera Malaysia adalah bukti pakatan itu tidak menghargai hak dan warisan bangsa yang sudah diterima pakai sejak dahulu lagi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan itu juga menunjukkan pakatan pembangkang terutamanya DAP tidak dapat menerima kejayaan yang dicapai hasil perjuangan Barisan Nasional (BN) sehingga semuanya hendak dinafikan dan ditukar.

"Kita tahulah, itu niat Pakatan Rakyat, segala-gala yang sudah diterima sebagai sebahagian daripada warisan kita hendak dibuang. Itu bendera, mungkin banyak lagi mereka nak lakukan, tukar segala-galanya hanya mereka nak kata mereka sudah berkuasa, mudah-mudahan mereka tidak berkuasa.

"Jadi, tidak ada sesuatu penghormatan kepada sejarah dan penghargaan kepada apa yang sudah menjadi kepunyaan rakyat Malaysia tidak dihargai langsung," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Parti Makkal Sakti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Ahad.

Jumaat lepas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kota Alam Shah daripada DAP M Manoharan menegaskan pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Kenyataan bersifat kurang ajar itu disiarkan Adun terbabit menerusi laman sosial Facebook miliknya semalam dan didedahkan oleh portal berita terbaru, www.mole.my.

Muhyiddin berkata andainya perkara itu berlaku, rakyat ketika itu akan berhadapan dengan fenomena luar biasa yang tidak pernah berlaku dan mungkin pada masa itu DAP juga bertindak untuk meminda beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak dipersetujui mereka.

Beliau berkata rakyat perlu mengambil iktibar daripada perkembangan ini kerana ia memperlihatkan pakatan pembangkang tidak menunjukkan akhlak yang tinggi serta memperlekehkan warisan negara.

"Rakyat harus dapat membuat perbezaan dengan BN, dengan segala apa yang dicapai hari ini adalah hasil perjuangan rakyat menerusi BN," katanya.

Ketika ditanya sama ada pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan memberi ruang kepada pembangkang untuk mengambil kesempatan, Muhyiddin berkata pemansuhan itu tidak bermakna orang ramai bebas melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam soal undang-undang negara, tidak ada pihak yang terkecuali. Jika mereka melakukan kesalahan yang bercanggah dengan undang-undang dan boleh memberi kesan kepada keselamatan, pastinya ada undang-undang yang boleh dirujuk untuk mengambil tindakan berasaskan undang-undang itu untuk tindakan," katanya.

Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan ISA dan beberapa kajian komprehensif akan dilakukan ke atas beberapa undang-undang berkaitan darurat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan