RTM Perlu Cari Inovasi Baru Pikat Pendengar

Diterbitkan: Jumaat, 16 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kumpulan pemikir dan penerbitan radio di stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu sentiasa mencari kaedah serta inovasi terbaru bagi memastikan pendengar terus setia bersama stesen itu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, langkah itu penting kerana dunia penyiaran ketika ini berdepan dengan persaingan sengit.

"Oleh itu, pendekatan kontemporari dan terbaru yang dapat diterima oleh khalayak ramai khususnya golongan muda amatlah diperlukan," katanya ketika berucap merasmikan penutupan Kembara Merdeka MinnalFm dan pelancaran Kelab Sahabat MinnalFm 2011 di sini, Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Menurut Rais, program Kembara Merdeka itu merupakan strategi terbaik dalam usaha melaksanakan program merakyatkan radio RTM sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Menerusi program itu, penyampai radio MinnalFm, S. Johnson mengembara ke seluruh Semenanjung dalam masa 30 hari bagi menjalankan misi memberi penerangan mengenai kemerdekaan dan Hari Malaysia kepada rakyat.

"Berbekalkan wang tunai RM10 dan sehelai sepinggang, cabaran yang dilakukan Johnson amatlah mencabar kerana segala keperluan makan minum, pakaian, pengangkutan serta penginapan semuanya diberi oleh para pendengar Minnal FM," katanya.

Rais berkata, sokongan padu yang diberikan menunjukkan rakyat Malaysia yang mempunyai fahaman berbeza bersatu dalam mengharungi semangat kemerdekaan bersama stesen MinnalFm.

Mengenai Kelab Sahabat MinnalFm, Rais berkata, ia bakal menjadikan saluran radio berbahasa Tamil itu kekal relevan bagi mewujudkan hubungan yang akrab dan mesra di kalangan pendengar sepanjang masa.

Stesen MinnalFm merupakan saluran radio berbahasa Tamil milik kerajaan yang berperanan dalam membina negara bangsa sejak pra merdeka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan