PM Temui Peserta Perarakan Merdeka, Sampai Penghargaan

Diterbitkan: Jumaat, 16 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sifat mesra rakyat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terserlah apabila beliau secara peribadi bertemu dan bermesra dengan para peserta perbarisan dan perarakan Hari Kemerdekaan ke-54 yang disambut serentak dengan Hari Malaysia ke-48 pada Jumaat di Dataran Merdeka.

Sebaik sahaja acara sambutan selesai, Najib dilihat berjalan menuju ke arah Dataran Merdeka untuk mendekati para peserta dan orang ramai yang hadir untuk menyaksikan acara sambutan berganda itu.

Ketika meredah lautan manusia untuk ke pentas konduktor koir sebelum menyampaikan ucapan penghargaan di atas penyertaan para peserta yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda, Najib tetap mesra melayani para peserta dan orang ramai yang mengerumuninya untuk bersalaman dengan beliau.

"Saya teruja dengan persembahan anda," katanya yang disambut sorakan peserta dan orang ramai yang berada di Dataran Merdeka itu.

Turut berada di atas pentas itu ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais, Menteri Kewangan Kedua Datuk Husni Hanadzlah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Najib menyifatkan kemeriahan perayaan berganda yang diraikan hari ini begitu dapat dirasai kerana kesungguhan persembahan yang dilakukan.

"Tema kita bagi sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini berkisar pada generasi muda. Saya melihat semangat generasi muda hari ini cukup berkobar-kobar semangatnya," katanya yang 'berpusing-pusing' di atas pentas, cuba memastikan ucapan penghargaannya dapat disampaikan kepada semua yang hadir.

Bertemakan '1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera', sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 dan Hari Malaysia ke-48 pada tahun ini dimeriahkan dengan penyertaan kira-kira 10,000 peserta daripada pelbagai peringkat yang kebanyakannya terdiri daripada generasi muda.

Najib di dalam ucapannya itu juga sempat menyelitkan amanat kepada generasi muda bahawa masa depan negara berada di dalam tangan mereka yang akan mengemudi negara pada masa akan datang.

"Insyaallah Malaysia akan terus berjaya kerana saudara-saudari sekalian," katanya.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Najib turut melaungkan teriakan 1Malaysia dan Merdeka sebanyak tiga kali berturut-turut, yang disambut oleh para peserta dan orang ramai dengan penuh bersemangat. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan