Perubahan Diumumkan PM Satu Transformasi Politik Jangka Panjang: Shafie Apdal

Diterbitkan: Jumaat, 16 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menyifatkan beberapa pengumuman penting Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan Hari Malaysia 2011 malam Khamis sebagai satu transformasi politik.

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perubahan yang diumumkan Perdana Menteri adalah satu transformasi politik untuk jangka masa panjang.

"Kita yakin perkara ini dikehendaki untuk memulihkan politik pada masa ini, 54 tahun merdeka, rakyat telah maju mindanya dengan pendidikan diberi negara, maka ada kematangan rakyat di negara kita untuk satu pemulihan politik lebih maju," katanya.

Mohd Shafir, yang juga Naib Presiden Umno, berkata transformasi itu adalah satu langkah kerajaan memberi kebebasan untuk rakyat bersuara mengembangkan minda mereka, dan bukan langkah untuk memenangi pilihan raya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir pula berkata transformasi itu diharap dapat meneruskan kestabilan politik sedia ada.

"Kerap kita dengar antara sebab pelabur beri pertimbangan (untuk melabur) di Malaysia adalah kestabilan politik, saya harap dengan mansuhnya beberapa akta itu, kestabilan politik yang kita nikmati akan terus terjamin.

"Kita akan tengok pihak yang tidak bertanggungjawab sebelum ini, ikhlas atau tidak dalam tuntutan mereka," katanya yang menambah jika pihak berkenaan masih menggunakan kebebasan diberikan secara tidak bertanggungjawab, tindakan itu akan merosakkan persepsi pelabur terhadap Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Ir Dr Wee Ka Siong berkata transformasi tersebut bakal mengalakkan lebih ramai golongan muda menceburi bidang politik.

"Mahu tidak mahu, rakyat yang umur 21 tahun sudah jadi pengundi, maka PM sudah buat pembaharuan begitu besar untuk golongan muda ini.

"Pembangkang akan cakap apa saja untuk hampakan kerajaan dan rakyat, apa yang penting, keikhlasan PM buat pembaharuan itu, inilah transformasi politik, jangan kaitkan ini dengan pilihan raya," kata Wee, yang juga Ketua Pemuda MCA.

Presiden Parti Progresif Rakyat Datuk Dr M Kayveas pula berkata transformasi itu menunjukkan politik di negara ini telah mencapai satu tahap lebih matang.

"Ini beri peluang mereka beri pandangan tanpa mereka takut cakap sesuatu, satu peluang mereka cakap apa nak cakap, dalam masa sama juga, kena jaga apa mereka hendak cakap," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan