Hishamuddin Sifatkan Pemansuhan ISA Satu Transformasi Negara

Diterbitkan: Jumaat, 16 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang diumumkan Perdana Menteri sebagai salah satu daripada perjalanan transformasi negara.

Beliau berkata, usaha mengubahsuai mana-mana undang-undang sedia ada adalah perlu agar ia seimbang dengan perubahan zaman dan menjamin kepentingan keselamatan negara dan rakyat.

Banyak perkara perlu dilakukan secara bersama oleh pelbagai pihak dalam menggubal dua undang-undang baru bagi mengantikan Akta ISA, katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan serentak Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan sempena Hari Malaysia 2011 semalam mengumumkan pemansuhan Akta ISA 1960 serta menamatkan tiga proklamasi darurat bagi membolehkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang lebih dinamik.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal pemansuhan Akta ISA itu bukan kerana desakan dari mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan politik, tetapi adalah satu pembaharuan bagi menjamin keselamatan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata keberanian Perdana Menteri memansuhkan akta itu membuktikan bahawa ISA bukan senjata Barisan Nasional (BN) seperti yang sering didakwa pembangkang.

"Kerajaan mengambil tindakan berani diluar pemikiran pembangkang, di mana rakyat kini mendapat hak sepenuhnya untuk dibicara," katanya.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir pula menyifatkan keputusan pemansuhan ISA itu merupakan hadiah bermakna sempena Hari Malaysia dan ia merupakan kepercayaan dari Perdana Menteri yang yakin negara ini tidak lagi diganggu dengan jenayah keganasan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata pemansuhan Akta ISA merupakan penamat kepada segala tomahan pembangkang yang mendakwa akta itu digunakan kerajaan untuk menzalimi rakyat.

Katanya keputusan itu membuktikan keberanian kerajaan dalam mempertahankan kebebasan bersuara selain yakin terhadap sistem kehakiman sedia ada. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan