Tiga Proklamasi Darurat Akan Dihapuskan

Diterbitkan: Khamis, 15 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membawa usul kepada Parlimen supaya tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dahulu dan dianggap masih berkuatkuasa sehingga kini ditamatkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usul di bawah Fasal 3, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan itu adalah selaras dengan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya.

"Sebagai yang ramai maklum, bahawa kecuali darurat akibat konfrontasi tahun 1964 yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini masih dianggap berkuatkuasa sehingga hari ini.

"Justeru, menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya di mana pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat oleh rakyat dan untuk rakyat.

"Maka kerajaan kini di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan akan membentangkan kepada kedua-dua majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya," katanya ketika menyampaikan perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011 di Auditorium Perdana, Angkasapuri di sini malam Khamis.

Perutusannya itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) RTM1 dan TV3 ke seluruh negara.

Ia juga disampaikan di hadapan lebih 800 hadirin di auditorium tersebut.

Sejak kemerdekaan sehingga kini, sebanyak empat Proklamasi Darurat telah diisytiharkan iaitu Proklamasi Darurat pada 3 Sept 1964 bagi seluruh Persekutuan; Proklamasi Darurat 15 Mei 1969 bagi seluruh Persekutuan; Proklamasi Darurat 14 Sept 1969 di Sarawak dan Proklamasi Darurat 8 Nov 1977 di Kelantan.

Bagaimanapun, katanya Proklamasi Darurat 1964 terbatal secara implikasi oleh Proklamasi Darurat pada 1969 seperti yang diputuskan oleh Majlis Privi dalam kes Teh Cheng Poh lwn Pendakwa Raya (1979) 1 MLJ 50.

Proklamasi Darurat 1969 bagaimanapun masih berkuat kuasa kerana Proklamasi Darurat 1977 dengan jelas tidak menyentuh Proklamasi Darurat pada 1969.

Menurutnya, Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Proklamasi dan Ordinan Darurat atau terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh Dewan Rakyat atau Dewan Negara yang mengungkai proklamasi atau ordinan itu.

Najib turut berkata, salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 adalah proses pilihan raya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung dengan peristiwa selanjutnya ialah pemilihan Dewan Rakyat disempurnakan dalam tempoh lebih kurang 20 bulan kemudian dan sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara telah stabil seperti sediakala.

Perdana Menteri menjelaskan, sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau.

"Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau apapun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, kemelesetan ekonomi, ekstrimisme agama mahupun cauvinisme perkauman.

"Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

"Barang harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah terlintas di benak pihak kerajaan walau sedetikpun untuk menukar sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang sistem anti-demokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi.

"Seperti terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana Menteri ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, telah mengisytiharkan darurat," katanya.

Najib menambah, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara mutlak tanpa kekecualian di tangan rakyat.

"Setelah lebih lima dekad kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara ini dalam memilih kerajaan demi menentukan hala tuju masa depan yang mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun jua," katanya.

Najib menegaskan bahawa kerajaan akan terus komited menjunjung sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan kerana pemerintahan hari ini terzahir dan dikudratkan oleh kehendak rakyat.

Berhubung sambutan hari penubuhan Malaysia, Perdana Menteri menyeru rakyat agar tidak berhenti berusaha dan tidak cepat berpuas hati dengan kemajuan yang dinikmati walaupun Malaysia telah muncul sebagai negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi.

"Marilah melipatgandakan usaha bagi menambahbaik daya saing nasional melalui penggunaaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri.

"Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian," ujarnya.

Menyingkap kembali sejarah, Najib berkata apabila negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya, bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu sama ada pemerhati asing, mahupun warga tempatan mempersoalkan tentang keupayaan kepimpinan negara membangunkan tanah air yang ketika itu sedang diancam pemberontakan komunis, dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah ofaktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya.

"Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban di awal usia setahun jagung meraih kemerdekaan," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan