Pembangkang Tidak Perlu Beri Syarat Kepada Kerajaan Untuk Sertai JTP

Diterbitkan: Khamis, 15 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keikhlasan pakatan pembangkang untuk menyertai Jawatankuasa Terpilih Parlimen (JTP) terus dipersoalkan malah banyak pihak melihat gabungan itu cuba bermain 'tarik tali' dalam soal penyertaan mereka.

Selain bukan sahaja tidak mahu mengesahkan penglibatan mereka dalam JTP walaupun dijemput kerajaan, malah mereka memberikan pula syarat kepada kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

JTP belum pun terbentuk tetapi pelbagai andaian, dakwaan dan tuduhan telah dilemparkan pembangkang kepada kerajaan mendakwa konon penubuhannya sebagai helah politik Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri sebelum ini menegaskan bahawa JTP yang akan ditubuhkan nanti bertujuan mengelakkan sebarang syak wasangka berlakunya manipulasi kerajaan yang diketuai BN.

Jawatankuasa itu kelak akan diketuai seorang menteri dan dianggotai sembilan wakil rakyat terdiri lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu Bebas.

Dalam hal ini, kerajaan tidak perlu diberi pelbagai syarat semata-mata untuk memenuhi kehendak pembangkang walhal merekalah yang beria-ia mahukan proses perjalanan pilihan raya dilakukan penambahbaikan dan perubahan.

Syarat terbaru yang diberikan pembangkang dilihat tidak masuk akal apabila meminta kerajaan secara sepakat bersama pembangkang menentukan bila masa sesuai dibubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya.

Lima syarat yang ditetapkan pembangkang ialah:

*kerajaan mesti menerima lapan tuntutan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) serta menggesa SPR melaksanakan tuntutan yang mereka buat;

*menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) secara sepakat di antara pembangkang dengan BN;

*memberi ruang yang cukup bagi JTP menjalankan tanggungjawabnya;

*memastikan isu pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga asing sebagai salah satu agenda perbincangan; dan *terakhir melaksanakan setiap keputusan JTP.

Beberapa pemerhati politik berpendapat kehendak pembangkang itu ibarat peribahasa Melayu "diberi betis nak paha pula".

Secara logiknya, tarikh pilihan raya umum selama ini merupakan "buah kilas" kerajaan dan menjadi hak mutlak Perdana Menteri menentukannya.

Anggota Parlimen Setiawangsa Datuk Seri Zulhasnan Rafique daripada BN berkata pembangkang sepatutnya ikhlas dan memanfaatkan penubuhan JTP demi kepentingan negara dan juga rakyat daripada terus mempertikaikannya.

Beliau berkata keputusan kerajaan untuk menubuhkan JTP bukanlah kerana atas desakan pembangkang, sebaliknya ia ditubuhkan selaras dengan keperluan semasa.

"Kita ajak ahli Parlimen pembangkang menyertainya supaya dapat memberi pandangan dengan demikian dapatlah Parlimen membuat sesuatu keputusan di masa akan datang mengikut tuntutan oleh pembangkang.

"Ini sesuatu yang baik untuk negara dan rakyat. Kita perlu beri kerjasama penuh kepada JTP supaya negara dan rakyat mendapat manfaat. Berilah pandangan yang sesuai dan semua berpeluang bercakap," katanya kepada Bernama.

Tambah beliau jika pembangkang meragui penubuhan JTP, mereka bolehlah bertanya kepada Timbalan Pengerusi DAP yang juga Anggota Parlimen Kepong Dr Tan Seng Giaw mengenai pengalamannya menyertai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Dr Tan berkata adakalanya hal-hal yang dibangkitkannya diambil berat oleh PAC dan memang ada tindakan dilaksanakan berkaitan keputusan jawatankuasa itu.

"Dalam PAC kita bincangkan sesuatu perkara itu dengan panjang lebar dan ini disusuli dengan laporan untuk tindakan kerajaan," katanya kepada Bernama, sambil menyatakan tidak benar sekiranya ada pihak yang mengatakan peranan jawatankuasa itu tidak menunjukkan sesuatu kemajuan ke arah kebaikan.

Penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata tindakan pembangkang yang bermain 'tarik tali' membuktikan bahawa gabungan PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu takut dengan sikap serius kerajaan.

"Mula-mula mereka anggap kerajaan tidak akan tubuhkan jawatankuasa untuk menambahbaik sistem pilihan raya. Bila kerajaan serius dan telus, nampaknya mereka mula takut dan berbelah bagi sama ada menyertainya atau tidak. Mereka bermain politik ke anak-anakan dengan mengenakan pelbagai syarat.

"Mereka sebenarnya cuba mengugut kerajaan. Mereka telah kehilangan idea untuk berpolitik dan kebanyakan syarat itu tidak berasas," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata keengganan pembangkang menyertai JTP kerana kebanyakan tuduhan yang mereka lemparkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan tidak disokong dengan bukti.

Katanya, pembangkang sudah tertekan dengan tohmahan mereka sendiri dan kemungkinan akan mempertimbangkan untuk duduk sahaja di luar jawatankuasa berkenaan apabila dibentuk nanti.

"Bila kebanyakan perkara yang mereka bangkitkan gagal dibuktikan, mereka merasa malu. Modal politik mereka habis, jadi mereka mungkin berfikir lebih baik duduk di luar sahaja daripada menyertai JTP," katanya.

Ahmad Atory berkata JTP yang akan ditubuhkan kelak kemungkinan bukanlah sebuah jawatankuasa sementara yang hanya ditubuhkan semata-mata untuk mengkaji dan melakukan perubahan pada proses perjalanan pilihan raya negara.

Sebaliknya, besar kemungkinan ia menjadi sebuah jawatankuasa tetap seperti PAC.

"Kalau mereka serius dan nak bercakap mengenai pilihan raya, seharusnya mereka menyertai JTP. Bukan memberikan syarat dan berbuat bising semata-mata. Keanggotaan JTP itu adalah mengikut komposisi parti dalam dewan," tambah beliau. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan