Najib Bakal Umum Pembaharuan Penting

Diterbitkan: Khamis, 15 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR:Pembaharuan politik, sosial dan keselamatan secara menyeluruh adalah antara yang ditekankan dalam ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen kerajaan dan swasta malam ini.

Perdana Menteri dijangka mengumumkan perubahan penting yang akan memberi ruang kebebasan kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat sekaligus merubah landskap politik di Malaysia.

"Pembaharuan menyeluruh itu berkaitan proses demokrasi yang dituntut rakyat. Kerajaan memenuhi apa yang mereka inginkan.

"Segalanya mengenai proses transformasi oleh kerajaan. Kami sudah melaksanakan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP). Kini sudah tiba masanya untuk transformasi politik seiring dengan pembangunan global," menurut sumber.

Najib dijangka membuat pengumuman berhubung undang-undang dan amalan yang dianggap tidak demokratik oleh rakyat termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat.

Menurut sumber, ISA tidak akan dimansuhkan sebaliknya Najib akan mengumumkan perubahan untuk penambahbaikan termasuk tempoh tahanan.

Menjawab kritikan terhadap kerajaan dalam menangani perhimpunan Bersih 2.0, Najib turut mengumumkan untuk memberi kebebasan dalam menyuarakan pendapat dan hak untuk berhimpun.

Seorang pegawai kerajaan berkata, pengumuman terbaru berhubung penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk memperbaiki proses pilihan raya adalah sebahagian daripada proses reformasi.

Kerajaan turut akan memperkenalkan reformasi kepada pengamal media termasuk penapisan dan keperluan untuk mereka memperbaharui permit setiap tahun.

"Kerajaan perlu mengikut perubahan zaman dan memberi sokongan tanpa mengawal syarikat penerbitan," kata sumber.

Timbalan Ketua Setiausaha KDN (Keselamatan), Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata pada Selasa bahawa kerajaan akan lebih bersikap terbuka kepada pengamal media dengan mendapatkan maklum balas ekoran perubahan landskap global dan kepesatan pembangunan teknologi maklumat.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengkaji undang-undang di negara lain berhubung demonstrasi dan perhimpunan dengan mengambil kira kebebasan rakyat dan keselamatan negara.

Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, ucapan Perdana Menteri akan disiarkan pada jam 8.45 malam.

"Perdana Menteri akan berucap di depan kira-kira 800 hadirin yang terdiri daripada menteri kabinet, pegawai tertinggi kerajaan, anggota parti komponen Barisan Nasional dan badan bukan kerajaan.

"Pada waktu itu, beliau dijangka menekankan perkara utama pentingnya perubahan besar yang beliau fikirkan wajar bagi kerajaan dan negara kita," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca-kabinet bagi kementeriannya di Wisma TV, Angkasapuri di sini, Rabu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan